Oleh Aqilah HMS –
Kisah ini berlaku 3 tahun yang lalu, masa tu aku masih lagi belajar dan setiap kali cuti semester aku akan ambil kerja sambilan. Macam-macam kerja dah aku buat, bekerja sebagai penjaga kaunter, pelayan restoran, pekerja bakeri dan kali ni aku dapat kerja di sebuah restoran ‘fast food’.
Aku masih ingat dengan jelas lagi kejadian masa tu dan pada malam itu aku ditugaskan untuk bekerja pada syif malam. Jam di dinding restoran menunjukkan pukul 1 pagi. Aku baru saja selesai membilas bekas sos dan membersihkan lantai dapur. Bau minyak goreng dan ayam goreng masih kuat melekat di udara walaupun kipas ekzos sudah aku hidupkan sejak sejam tadi. Aku dan Syasya sahaja yang tinggal pada malam itu yang lain sudah balik seawal jam 12 tengah malam setelah pelanggan terakhir beredar.
Restoran fast food tempat aku kerja ni terletak di kawasan agak sunyi. Belakangnya hutan kecil dan sebelah kanan hanya ada sebuah bangunan pejabat kosong. Lampu jalan pun cuma beberapa batang. Bila malam, tempat ini rasa asing. Terlalu senyap sampai bunyi kucing berlari pun kedengaran jelas.
Malam itu aku rasa tak sedap hati. Ada benda yang tak kena. Kawan aku pula pergi ke tandas. Jadi untuk tidak membuangkan masa aku pun bersihkan dapur tu sorang-sorang dan cuba untuk ketepikan perasaan aku tu.
Malangnya, ketika aku lap peti ais besar di dapur, aku terdengar bunyi kerusi bergerak dari kawasan makan. Macam ada orang tarik kerusi kuat-kuat. Aku terhenti. Tapi aku cuba untuk fikir positif, “Ah mungkin Syasya.” Tapi bila aku pandang sekeliling tiada siapa.

Bahagian makan pelanggan sepatutnya kosong.
Aku beranikan diri keluar dari dapur. Memang kosong. Semua kerusi sudah aku susun sebelum itu.
Tapi satu kerusi di penjuru belakang menghadap tingkap drive-thru tiba-tiba teralih, seperti baru saja diduduki.
Aku kembali ke dapur. Teruskan lap meja stainless steel, tapi perasaan diperhati makin kuat. Bunyi kipas ekzos pun macam makin perlahan. Atau mungkin telinga aku dah mula main peranan.
Jam menunjukkan 2 pagi. Tiba-tiba headset interkom drive-thru berbunyi, menandakan ada kereta yang datang dari arah depan untuk memesan makanan.
Aku terkejut. Aku tak sentuh pun butang interkom tu.
Lebih aneh, tiada kereta di luar. Aku keluar, jenguk ke tingkap drive-thru. Jalan sunyi. Tiada lampu kereta pun dari jauh.
Aku matikan suis. Tapi tiba-tiba suara dalam headset tu terdengar lagi, lebih perlahan.
“Saya nak ayam…set” tapi suaranya tidak jelas.
Bulu roma aku meremang. Suara perempuan, perlahan dan bernada datar. Macam orang yang kehabisan nafas.
Aku buka headset dan campak ke lantai. Tak sanggup dengar lagi.
Aku ambil mop dan buat-buat sibuk mop lantai semula. Hati aku dah tak tenang. Tapi aku tak boleh balik selagi tak bersihkan dapur. Itu SOP restoran.
Sedang aku mop, aku dengar bunyi air menitis. Aku pandang ke arah sinki. Paip tertutup rapat. Tapi air masih menitis dari siling.
Aku mundur beberapa langkah. Hati mula berdebar kuat. Aku tahu di atas siling tu cuma bilik stor kecil yang kosong — tempat letak tisu dan stok lama. Tiada paip air di sana.
Mustahil ada kebocoran.
Tiba-tiba lampu di dapur berkelip-kelip. Sekelip mata, suis utama terpadam. Gelap.
Aku cepat-cepat capai lampu suluh dari laci bawah kaunter.
Cahaya samar-samar menyuluh sekeliling dapur. Dalam cahaya tu, aku nampak bayang seseorang berdiri di pintu peti ais besar. Rambut panjang hingga ke kaki dan berbaju putih.
Aku terkedu. Lampu suluh menggigil di tangan. Bayang itu tak bergerak. Aku pejam mata.
Baca ayat Kursi dalam hati.
Bila aku buka mata, bayang itu hilang. Tapi pintu peti ais terbuka sikit.
Perlahan-lahan aku hampiri peti ais. Dengan tangan menggigil, aku tolak pintu itu dan tiada apa-apa.
Aku tak fikir panjang. Aku terus keluar dari dapur. Tapi belum sempat aku capai beg, aku terdengar bunyi mesin pemanggang menyala sendiri.
Padahal aku sudah tutup semua suis.
Aku kembali ke dapur. Mesin itu memang menyala.
Aku cabut suis. Habis satu dalam restoran gelap semula.
Bila aku pusing, aku terlihat bayang itu lagi. Kali ini lebih dekat. Berdiri betul-betul di depan pintu keluar dapur, memandang aku.
Mukanya pucat. Matanya hitam, kosong.
Aku tergamam, aku cuba untuk teriak dan panggil Syasya tapi mulut aku seperti dikunci dan kaki aku seolah-olah di gam ke lantai.
Aku terus lari ke belakang untuk dapatkan Syasya yang masih berada di dalam tandas. Dia terkejut melihat muka aku yang pucat dan badan aku yang mengigil.
“Kenapa ni?! Apa dah jadi?”, teriak Syasya. Aku tak cakap panjang dan terus bawa dia keluar dari restoran tu.
Sejak kejadian itu, aku berhenti kerja. Aku tak sanggup lagi pulang subuh, atau dengar bunyi headset drive-thru berbunyi sendiri dalam gelap.
Kadang-kadang, bila aku lalu kawasan itu waktu malam, aku masih terbayang kerusi yang bergerak sendiri, atau suara-suara seram tu.

