Syiling abad ke-17 boleh cecah ratusan ribu

ENGLAND, 21 OKT – Syiling luar biasa yang nilainya hanya beberapa sen ketika ia dikeluarkan pada pertengahan abad ke-17 New England boleh mencecah jualannya sekitar AS$300,000 setelah di lelong di London bulan depan.

Mata wang syiling satu perak itu dibuat di Boston pada 1652 – dianggap contoh terbaik daripada 40 syiling yang diketahui masih ada – yang ditemui baru-baru ini di United Kingdon di dalam sebuah tin gula-gula mengandungi ratusan syiling lama, kata pelelong Morton & Eden Ltd dalam satu kenyataan kelmarin.

James Morton, pakar pelelong syiling, menggelar syiling New England itu ‘koleksi bintang’.

“Saya sukar percaya apabila saya menyedari ia adalah contoh terbaik syiling New England, dikeluarkan oleh John Hull pada tahun 1652 di Boston untuk digunakan sebagai mata wang bagi peneroka awal di Koloni Teluk Massachusetts,” katanya dalam satu kenyataan.

Syiling itu mempunyai rekaan asas dengan tanda NE bagi New England pada satu sisi dan nombor rumi XII, bagi 12, nilai syiling pada sisi lain.

Jim Bailey, pakar syiling dan pengesan logam di Warwick, Rhode Island mengatakan wang syiling itu sangat menarik perhatian kerana hanya ada sekitar 40 syiling seumpamanya yang wujud dan spesimen itu boleh digelar yang terbaik setakat ini.

Lelongan secara online itu yang termasuk beberapa syiling zaman awal Amerika dijadualkan berlangsung pada 26 November. – AP

Gambar bertarikh 9 September menunjukkan syiling abad ke-17 yang akan dilelong di London. – AP