LOS ANGELES, 21 NOV – Pengumpul syiling tegar berebut peluang untuk mendapatkan syiling emas double eagle AS$20 yang jarang ditemui dalam satu acara lelongan di California Selatan semalam, namun hanya seorang pembeli sahaja berjaya mendapatkannya pada harga yang tinggi.
Syiling emas tersebut, ditempa di Carson City, Nevada pada tahun 1870, telah dijual pada harga AS$1.44 juta termasuk yuran premium pembeli oleh Stack’s Bowers Galleries.
Menurut pakar sejarah syiling di rumah lelongan itu, John Kraljevich, hanya 3,789 unit syiling tersebut pernah dihasilkan, dan dianggarkan hanya 40 hingga 50 unit yang masih wujud.
Bagaimanapun, rumah lelongan itu tidak memberikan maklumat tentang identiti pembeli syiling tersebut.
Kraljevich menjelaskan bahawa sebelum 1849, denominasi tertinggi untuk syiling emas ialah AS$10, dikenali sebagai eagle. Syiling AS$20 double eagle diperkenalkan susulan peristiwa California Gold Rush yang membawa bekalan emas yang banyak.
Kali terakhir syiling itu dijual adalah pada acara lelongan Stack’s pada tahun 1986 dengan harga AS$23,100.
“Syiling ini benar-benar di luar jangkaan semua orang,” kata Kraljevich.
“Apabila ia muncul semula selepas lebih 25 hingga 30 tahun, ia seperti satu penemuan baharu,” tambahnya.
Semasa acara lelongan berlangsung, harga bidaan untuk syiling tersebut telah mencecah AS$800,850, jauh mengatasi syiling lain dalam katalog lelongan. Ia adalah sebahagian daripada koleksi Bernard Richards dan merupakan syiling gred terbaik yang diketahui wujud, menurut standard industri Perkhidmatan Penggredan Syiling Profesional.
Namun, harga akhir syiling itu gagal mencapai ramalan awal yang menjangkakan ia akan melepasi angka AS$2 juta. – AP