Syor lesen untuk pemilik akaun YouTube

Syor pemilik akaun YouTube termasuk individu yang dianggap menjana pendapatan lumayan ‘atas angin’ diwajibkan memiliki lesen, menjadi antara cadangan dikemukakan kumpulan menggelarkan diri mereka, Gabung Anak Seni (GAS) kepada kerajaan.

GAS yang diterajui pelakon, pengarah dan penerbit, Ellie Suriaty Omar memberitahu, memorandum cadangan penambahbaikan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998, akan dikemukakan kepada pihak berkepentingan, secepat mungkin.

Ellie berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada FINAS, SKMM, Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) berikutan akta sedia ada tidak lagi relevan dalam melindungi hak dan kepentingan industri perfileman negara.

Ellie berkata, langkah mewajibkan pemilik akaun YouTube memiliki lesen mampu mengelak lebih ramai selebriti menjadi mangsa apabila dipergunakan YouTuber.

“Saya tidak kisah dikecam apabila menggesa kerajaan menyegerakan pengeluaran lesen bagi pengguna media sosial terutama YouTube. Orang di luar tidak tahu kesan yang terpaksa pemain industri hadapi akibat YouTube.

Ellie menyarankan kerajaan mewajibkan pemilik akaun YouTube memiliki lesen agar kegiatan mereka lebih mudah dipantau. – Agensi

“Ramai YouTuber muda yang berjaya dengan kreativiti kandungan mereka hingga menjana pendapatan lumayan. Namun, ada antaranya mengambil kesempatan daripada selebriti untuk mengaut keuntungan.

“Ramai rakan saya sudah menjadi mangsa. Jadi, saya tidak mahu lebih ramai lagi yang terkena namun tidak dapat apa-apa faedah.

“Jadi, di mana hak kami golongan yang dipergunakan ini?” katanya kepada BH Online.

Ellie menambah, ketika isu lesen FINAS hangat diperkatakan, pemilik akaun YouTube membangkitkan soal bayaran RM50,000 yang didakwa perlu dijelaskan kepada perbadanan itu bagi syarat pemilikan lesen.

Ellie mendakwa, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja memutar belitkan fakta untuk menimbulkan kekecohan. Jelas Ellie, jumlah bayaran dimaksudkan adalah bagi individu yang berhasrat menubuhkan syarikat berstatus ‘sendirian berhad’. – Agensi