Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syria buka semula kedutaan di London

    BEIRUT, 14 NOV – Syria mengumumkan pembukaan semula kedutaannya di London, langkah terbaharu negara itu dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik di peringkat global sejak bekas Presiden Bashar al-Assad digulingkan tahun lalu.

    Majlis perasmian kelmarin dipengerusikan Menteri Luar, Asaad al-Shaibani, di bangunan kedutaan berkenaan di pusat London, dengan upacara menaikkan bendera menandakan aktiviti diplomatiknya disambung semula selepas ditutup selama 14 tahun, menurut kenyataan Kementerian Luar Syria.

    Satu gambar yang dimuat naik di akaun X milik al-Shaibani menunjukkan beliau di balkoni kedutaan sambil melambai kepada orang ramai yang berkumpul di bawah, termasuk individu yang mengibar bendera Syria.

    “Selepas bertahun-tahun pengasingan yang dikenakan oleh rejim Assad yang menggunakan senjata kimia, hari ini kami membuka semula Kedutaan Syria di London.

    Syria kembali ke pentas dunia dengan identitinya yang bebas,” tulis al-Shaibani di X, merujuk dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Assad.

    Wakil Khas United Kingdom bagi Syria, Ann Snow, turut menyatakan sokongannya menerusi X.

    “Hari ini saya berbangga menyaksikan Menteri Luar Syria @AsaadHShaibani menaikkan bendera di Kedutaan di London, satu detik bersejarah,” tulisnya.

    Dalam lawatan itu, al-Shaibani turut bertemu rakan sejawatnya dari Britain, Yvette Cooper, bagi membincangkan prospek pembangunan hubungan dua hala Syria-UK serta usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor, menurut kementerian tersebut.

    Pembukaan semula kedutaan itu menandakan satu lagi langkah dalam usaha Damsyik untuk membina semula kehadiran diplomatiknya selepas bertahun-tahun pemulauan asing di bawah rejim Assad. – AFP

    Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa (kanan) mendengar Menteri Luar Syria Asaad al-Shibani (tengah) berucap semasa pertemuan dengan wakil organisasi Amerika Syria di Washington pada 8 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda