DAMSYIK, 30 MEI – Syria telah menandatangani perjanjian tenaga bernilai AS$7 bilion dengan konsortium syarikat dari Qatar, Turkiye dan Amerika Syarikat (AS) kelmarin, dalam usaha memulihkan sektor tenaga negara yang lumpuh akibat peperangan.
Perjanjian itu dimeterai di istana presiden di Damsyik dengan kehadiran Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa dan Duta AS, Thomas Barrack. Perjanjian tersebut menyasarkan penjanaan tenaga sebanyak 5,000 megawatt.
Menteri Tenaga Syria, Mohammad al-Bashir, menyifatkan perjanjian itu sebagai satu ‘detik bersejarah’ dan ‘titik perubahan’ bagi infrastruktur negara yang musnah.
Konsortium tersebut diketuai oleh UCC Concession Investments dari Qatar dan turut disertai oleh syarikat Turkiye, Kalyon GES Enerji Yatirimlari dan Cengiz Enerji serta Power International USA.
Projek itu merangkumi pembinaan empat loji jana kuasa gas di rantau tengah dan timur Syria serta sebuah ladang solar dengan kapasiti 1,000 megawatt di selatan negara tersebut.

Bashir berkata loji-loji tersebut akan menggunakan teknologi dari AS dan Eropah.
Sementara itu, Barrack mengatakan Presiden AS, Donald Trump, telah menarik balik sekatan terhadap Syria tanpa syarat dan berjanji untuk terus memberi sokongan.
Trump menyatakan beliau telah menawarkan ‘komitmen yang tidak berbelah bahagi’ kepada Syria untuk menjadikan sempadan negara itu sebagai ‘jaringan perdagangan dan kerjasama’.
Ketua Eksekutif UCC, Ramez al-Khayyat, berkata perjanjian itu dijangka akan mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan langsung dan 250,000 pekerjaan secara tidak langsung.
Syria kini giat menarik pelaburan selepas AS dan Kesatuan Eropah mengumumkan rancangan untuk menarik balik sekatan ekonomi.
Pada bulan Mac, Qatar telah memulakan pembiayaan bekalan gas kepada Syria melalui Jordan bagi membantu mengurangkan krisis tenaga tersebut. – AFP