Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syria hadapi krisis kebakaran hutan

    DAMSYIK, 7 JULAI – Pihak berkuasa Syria telah memaklumkan kira-kira 100 kilometer persegi kawasan hutan telah ‘menjadi abu’ akibat kebakaran hutan, ketika pasukan bomba dari negara jiran Jordan tiba kelmarin untuk membantu memadamkan kebakaran yang kini memasuki hari keempat di wilayah Latakia.

    Pasukan kecemasan Syria turut berdepan keadaan sukar termasuk suhu tinggi, angin kencang, kawasan pergunungan yang berbukit dan bahaya sisa letupan perang, dalam sebuah negara yang telah lama dilanda konflik serta krisis ekonomi.

    Seorang koresponden AFP di kawasan Rabiaa, Latakia menyaksikan pasukan kecemasan sedang memadam kebakaran berhampiran kawasan perumahan, manakala kawasan hutan dan ladang zaitun terbakar luas dengan asap tebal yang telah menyelubungi ruang udara.

    Pasukan pertahanan awam Jordan telah memasuki Syria pada pagi kelmarin, menurut kementerian pengurusan kecemasan dan bencana Syria, selepas Turkiye menghantar bantuan sehari sebelumnya.

    Menteri Raed al-Saleh menulis di platform X, ‘ratusan ribu pokok hutan meliputi anggaran kawasan seluas 10,000 hektar di 28 lokasi telah menjadi abu’.

    Lebih 80 pasukan termasuk anggota pertahanan awam kini membantu usaha untuk memadam kebakaran, tambahnya, sambil memaklumkan organisasi tempatan dan penduduk turut memberikan bantuan, selain pasukan serta pesawat pemadam kebakaran dari Jordan dan Turkiye. – AFP

    Asap tebal memenuhi udara ketika kebakaran hutan berhampiran bandar Rabia, Syria pada 6 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda