DAMSYIK, 5 OKT – Syria akan memilih anggota parlimen pertamanya selepas era Assad hari ini, dalam satu proses yang dikritik sebagai tidak demokratik, dengan sepertiga daripada anggotanya akan dilantik oleh pemimpin interim, Ahmed al-Sharaa.
Penubuhan dewan itu dijangka mengukuhkan kuasa Sharaa, dengan pasukan Islamisnya mengetuai gabungan yang menggulingkan pemerintah lama Bashar al-Assad pada Disember lalu, selepas lebih 13 tahun perang saudara dan lima dekad pemerintahan satu keluarga.
Menurut jawatankuasa penganjur, lebih 1,500 calon, hanya 14 peratus daripadanya wanita, bertanding bagi kerusi parlimen yang mempunyai mandat boleh diperbaharui selama 30 bulan.
Sharaa akan melantik 70 wakil daripada keseluruhan 210 anggota badan perundangan itu.
Dua pertiga selebihnya akan dipilih oleh jawatankuasa tempatan yang dilantik oleh suruhanjaya pilihan raya, yang juga dilantik oleh Sharaa.
“Saya menyokong pihak berkuasa dan sanggup mempertahankannya, tetapi ini bukan pilihan raya sebenar,” kata Louay al-Arfi, 77, seorang pesara penjawat awam yang ditemui bersama rakan-rakannya di sebuah kafe di Damsyik.
“Ia satu keperluan dalam fasa peralihan, tetapi kami mahu pilihan raya langsung selepas ini,” katanya kepada AFP. – AFP










