Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syria umum kerajaan baharu mulai 1 Mac

    DUBAI, 12 FEB – Syria akan mempunyai kerajaan baharu pada 1 Mac depan, kata Menteri Luar Sementara, Asaad al-Shaibani hari ini, dengan pihak berkuasa sementara memerintah negara itu selepas penggulingan Bashar al-Assad.

    “Kerajaan yang akan dilancarkan pada 1 Mac ini akan mewakili rakyat Syria sebanyak mungkin dan mengambil kira kepelbagaian mereka,” kata Shaibani di sidang kemuncak Kerajaan Dunia di Emiriah Arab Bersatu.

    Para pemberontak yang merampas kuasa telah menubuhkan kerajaan sementara yang diketuai oleh Mohammad al-Bashir untuk memimpin negara yang berbilang etnik dan agama sehingga 1 Mac.

    Pada bulan lepas, Ahmed al-Sharaa, pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang mengetuai serangan pemberontak yang menggulingkan Assad, dilantik sebagai presiden sementara.

    Beliau diberi tanggungjawab untuk membentuk badan legislatif peralihan selepas parlimen zaman Assad dibubarkan, bersama dengan parti Baath yang memerintah Syria selama beberapa dekad. HTS dan puak-puak lain juga telah dibubarkan, dengan pejuang-pejuang mereka akan diserap ke dalam pasukan nasional masa hadapan.

    Dalam satu wawancara awal bulan ini, Sharaa berkata bahawa mengadakan pilihan raya mungkin mengambil masa sehingga lima tahun.

    Pihak berkuasa baharu itu berjanji untuk mengadakan persidangan dialog kebangsaan yang melibatkan semua rakyat Syria, tetapi masih belum menetapkan tarikh. – AFP

    Asaad al-Shibani (kanan) menjawab soalan semasa temu bual dengan wartawan Kuwait, Ammar Taqi, semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai pada 12 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda