BEIRUT, 2 Jan – Presiden Bashar Assad semalam merombak kerajaannya dengan menggantikan menteri-menteri pertahanan, maklumat dan industri, menurut laporan agensi berita kerajaan Syria, SANA.
SANA tidak menyatakan alasan bagi rombakan itu yang dilakukan ketika pasukan tentera Assad meraih kelebihan dalam tempoh dua tahun lalu di bawah perlindungan serangan udara Rusia dan bantuan pejuang-pejuang yang disokong Iran.
Menurutnya, pemerintah tentera Jeneral Ali Ayoub telah dilantik sebagai menteri pertahanan menggantikan Fahd Jassem al-Freij yang telah memegang jawatan itu sejak 2012. Ayoub telah menjadi ketua turus tentera sejak Julai 2012 sehingga dia menjadi menteri pertahanan.
Agensi itu menambah bahawa Imad Sarah telah dilantik menjadi menteri maklumat sementara Mohammed Mazen Youssef dipilih sebagai menteri industri yang baru.
Pengumuman itu dibuat ketika kawasan-kawasan berlainan di Syria menyaksikan keganasan, kebanyakannya di pinggir bandar ibu negara Damsyik dan barat laut Syria, yang mana pasukan tentera membuat serangan di pinggir selatan wilayah Idlib.
Pertempuran sengit meletus antara pasukan kerajaan Syria dan pemberontak-pemberontak timur Damsyik apabila tentera berusaha untuk memasuki kawasan di mana pasukan kerajaan terperangkap di bawah perlindungan berpuluh-puluh serangan udara, menurut aktivis pembangkang.
Pertempuran berterusan selama tiga hari tetapi Ahad lalu, pemberontak yang dibantu oleh para pejuang yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda telah menyerang pasukan tentera dan lelaki-lelaki bersenjata pro kerajaan telah menawan beberapa kawasan pangkalan tentera dan mengepungnya di dalam.
Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Kemanusiaan yang beribu pejabat di Britain dan aktivis di Syria Mazen al-Shami berkata pertempuran semalam bertumpu di dalam pangkalan tentera berdekatan pinggir bandar Harasta, yang mana pasukan kerajaan telah terperangkap. – AP