Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Syukur dalami ilmu, kemahiran berdakwah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Dalam era digital masa kini, pendekatan dakwah perlu dipelbagaikan agar ia tetap signifikan dan menepati golongan sasaran.

    Para da’ie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang baik, kreatif dan inovatif agar penyampaian dakwah kekal relevan dan dapat menarik lebih ramai orang terutama sekali golongan muda.

    Ke arah itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menaja Program Pemantapan Da’ie untuk memantapkan kualiti da’ie secara internal melalui pembinaan yang konsisten dari sudut penguasaan ilmu dan kemahiran-kemahiran praktikal yang diperlukan oleh da’ie serta memperkasakan aktiviti pembudayaan ilmu dalam kalangan da’ie melalui perkongsian idea, perbincangan dan kerjasama dengan lebih intensif.

    Seramai 31 peserta telah mengikuti program yang berlangsung selama dua tahun bermula pada 2021 hingga 2023 dan mereka telah menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Daripada 31 orang peserta itu, tiga orang telah dianugerahkan biasiswa khas bagi melanjutkan pembelajaran bagi memantapkan lagi ilmu dan kemahiran-kemahiran praktikal mengikut keperluan bidang da’ie selama satu tahun.

    Dayang Nor Najiah ditemui media selepas menerima anugerah biasiswa pada majlis tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Awang Mohamed Syarif Abbas ketika ditemu bual media. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Penerima anugerah biasiswa khas bergambar bersama sijil mereka. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara peserta program bergambar bersama sijil mereka pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara yang hadir pada majlis penyampaian anugerah tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Penerima anugerah biasiswa ialah Dayang Nurul Zaimah binti Haji Mohidin, Dayang Siti Nur Rafhanah binti Awang Masri dan Dayang Nor Najiah binti Abdullah.

    Selain itu, majlis juga menyaksikan penyampaian Anugerah Khas kepada seorang penerima dan Anugerah Umum kepada empat penerima.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil dan anugerah ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Sementara dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Program Pemantapan Da’ie, Dayang Siti Hurul-‘Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana, antara lain mengongsikan sepanjang program itu, peserta telah melalui fasa-fasa pengisian ilmu dan kemahiran yang konsisten meliputi pengisian tadabbur Al-Quran, beberapa Hadis Arba’in, menghayati sirah Nabi SAW dan sebagainya.

    Beliau seterusnya menjelaskan walaupun program tersebut masih baharu namun ia berjaya mencapai beberapa objektif yang ditetapkan, termasuk meningkatnya sumber manusia di mana sebanyak 80 peratus belia da’ie dianggap berkebolehan dalam mengelola program-program Belia Da’ie di samping peningkatan 33 peratus ahli jawatankuasa yang dianggap berkelayakan membantu fasilitatur dalam memimpin program khusus anjuran Belia Da’ie terutamanya Akademi Dakwah sebagai dakwah lapangan utama program ini.

    “Beberapa peserta telah lulus dan berjaya memperoleh tauliah pengiktirafan mengikut kelayakan mereka,” tambahnya.

    Salah seorang penerima biasiswa dan juga peserta program, Dayang Nor Hajiah binti Abdullah semasa ditemu bual media berkata, “Dengan anugerah ini, ia memberikan laluan untuk mencuba bidang baharu dan mendalami lagi ilmu keagamaan. Walaupun ia hanya satu tahun tapi ia adalah jalan yang Allah berikan untuk menimba ilmu dan saya bersyukur atas anugerah ini.

    “Kejayaan ini diperoleh atas sokongan ibu bapa dan juga keluarga yang memahami kerana tanpa restu dan doa orang tua, saya tidak akan mencapai apa yang diperoleh hari ini.”

    Katanya lagi, “Sepanjang tempoh dua tahun, banyak ilmu yang diperoleh selain kelas-kelas yang dianjurkan sangat-sangat membantu kerana sebelum ini, saya bukan mengikuti bidang keagamaan, dan apabila memasuki program pemantapan da’ie ini, ianya satu peluang untuk mendalami lagi ilmu keagamaan selain memperbaiki akhlak, memperbaiki cara berinteraksi dengan orang ramai dan pada masa yang sama, membina ukhwah dengan peserta yang lain.

    “Dalam program pemantapan da’ie ini, ia bukan sekadar ilmu sahaja tapi ia mengajar tentang jati diri dan soft dan hard skill, bagaimana untuk menguruskan masa dan jika kita pandai menguruskan masa, semua itu akan tersusun dengan baik,” jelasnya.

    Beliau yang juga seorang pekerja, terpaksa membahagikan masa setiap hujung minggu untuk keluarga dan juga menghadiri program yang dilaksanakan setiap hujung minggu.

    Beliau yang sebelum ini berhasrat untuk melanjutkan pengajian dan dengan anugerah khas biasiswa ini, ia memberikannya peluang untuk mendalami bidang keagamaan.

    Manakala salah seorang peserta program, Awang Mohamed Syarif Abbas bin Awang Haji Mohd Zaini, melahirkan harapan untuk mendapatkan tauliah daripada Majlis Ugama Islam Brunei dalam penyampaian dakwah.

    Beliau ketika ditemui menjelaskan banyak ilmu yang diperoleh terutamanya dari segi kefahaman ayat-ayat Al-Quran dan hadis. “Penurunan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia hanya dapat diaplikasikan jika ianya difahami, dihayati dan ditadubburi. Tanpa tadabbur dan tanpa kefahaman, petunjuk tersebut akan hilang fungsi utamanya dan manusia akan berterusan berada dalam kegelapan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...