Syukur dapat beroperasi semula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Setelah hampir empat bulan, para pemilik perniagaan yang terpaksa ditutup sejak gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali beroperasi dalam Fasa Peralihan yang bermula hari ini meskipun dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Salah seorang pemilik pusat kecergasan, Awang Muhammad Saadi @ Wadud bin Haji Abu Bakar ketika ditemu bual, melahirkan perasaan sangat bersyukur kerana dapat membuka perniagaan selepas penutupan selama tiga bulan akan tetapi langkah-langkah penjagaan tetap diterapkan bagi mengelakkan sebarang jangkitan terjadi.

Pemilik Dud Gym itu berkata, pelanggan yang hendak masuk ke premis gim hendaklah mempunyai aplikasi BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja, dan harus melengkapi dua dos vaksinasi dan juga membawa kad pengenalan dan buku vaksinasi.

Penggunaan pelitup muka adalah dimestikan semasa memasuki premis akan tetapi semasa berolahraga tergantung kepada individu untuk menggunakannya atau tidak, dan penjarakan sosial adalah harus serta tidak berkumpulan.

Menyentuh mengenai sistem pengudaraan di dalam gim, beliau berkata, ia adalah sangat memuaskan kerana mempunyai pintu pagar yang besar dan membolehkan udara keluar dan masuk tanpa halangan.

Mengikut SOP yang telah ditetapkan, pihak gim akan hanya membenarkan seramai 15 orang sahaja dalam satu masa yang ditetapkan, maka dengan itu pelanggan dinasihatkan untuk datang lebih awal atau membuat tempatan terlebih dahulu.

Pengusaha-pengusaha pusat kecergasan lain turut menzahirkan rasa syukur atas pembukaan semula perniagaan setelah hampir empat bulan terpaksa menutup perniagaan dan ada segelintir daripada mereka hampir hilang pendapatan.

Pas digunakan untuk mengehadkan jumlah pelanggan dalam satu masa di dalam premis gim. – Gambar oleh Muiz Matdani