Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukur dengan pemberian bonus

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 DIS – Bagi warga perkhidmatan awam, tarikh 28 Disember merupakan hari yang dinanti-nantikan apabila bonus tahunan diterima daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Ia bukan sahaja sebagai tanda penghargaan malahan juga sebagai motivasi dalam meningkatkan mutu kerja, setelah menyumbangkan khidmat bakti, berpenat lelah be-kerja selama 12 bulan.

    Pemberian bonus ini juga bertepatan dengan persediaan bagi penggal persekolahan 2024 yang akan bermula kurang seminggu sahaja lagi.

    Beberapa orang awam yang ditemui melahirkan rasa syukur mereka atas pemberian bonus berkenaan yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan lebih-lebih lagi musim persekolahan akan bermula tidak lama lagi.

    Bagi Awang Ruzaiman bin Haji Abdul Majeed, 48, seperti tahun-tahun sebelumnya penerimaan bonus tahunan akan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak seperti buku-buku teks dan kerja sekolah yang masih belum lengkap.

    Barisan panjang kenderaan dilihat di pusat komersial Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Orang ramai berbaris untuk mengeluarkan duit di mesin ATM. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Keperluan sekolah anak-anak adalah yang paling utama kerana tidak mahu keperluan untuk pembelajaran anak-anak terjejas akibat ketiadaan buku-buku sekolah, dan selebihnya barulah digunakan bagi keperluan keluarga,” jelasnya.

    Manakala itu, Dayang Habibah binti Haji Mat Jais pula menjelaskan, walaupun dengan penerimaan bonus ini dianggap salah satu peluang untuk berbelanja lebih berbanding bulan-bulan yang lain, tapi kita juga perlu beringat bagi berbelanja apa yang benar-benar perlu sahaja.

    “Selain menunaikan hajat yang diimpikan sebelum ini, dan sebahagian daripada hasil pemberian bonus ini akan disimpan dan dikongsikan bersama kedua-dua orang tua untuk meraih keberkatan,” jelasnya.

    Tinjauan Media Permata ke beberapa tempat tumpuan membeli-belah di kawasan Gadong dan Kiulap hari ini, menyaksikan tawaran-tawaran menarik seperti promosi hujung tahun dan potongan diskaun diberikan bagi menarik perhatian para pelanggan.

    Walaupun dengan pemberian bonus, perlu juga diingat berbelanja secara bijak dan mengikut kemampuan selain memberikan keutamaan kepada perkara penting
    tanpa melakukan pembaziran kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda