Yusrin junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
Ratib zikir berulang-ulang, terutamanya Alhamdulillah, pujian kepada Allah Yang Maha Esa meniti dari bibir ke bibir kebanyakan jemaah apabila solat fardu Jumaat kembali ditunaikan di masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara hari ini selepas hampir dua bulan mereka merinduinya.
Penulis turut tidak melepaskan peluang menunaikan solat fardu Jumaat, sekali gus membuat tinjauan ke Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, mendapati ia berjalan lancar dan langkah-langkah yang dilaksanakan memudahkan lagi aliran masuk jemaah ke surau tersebut. Dianggarkan 400 jemaah mendiami kawasan berhampiran, menunaikan solat di surau tersebit.
Penulis merasa terharu dan bersyukur ke hadratNya kerana masih berpeluang solat fardu Jumaat buat pertama kali ia dibukakan.
Begitu juga jemaah lain, antaranya Awang Hardy Sufardy yang ditemui penulis di sana, melafazkan kata syukur Alhamdulillah tak terhingga atas nikmat solat Jumaat dalam keadaan negara masih diancam pandemik dan dalam normal baharu yang perlu dipraktikannya.
Menurutnya, penularan wabak COVID-19 di negara ini ada hikmah di sebaliknya, contohnya hari ini sahaja, jemaah dapat dilihat mematuhi peraturan yang ditetapkan, suasana masjid walaupun agak kosong, namun tersusun kedudukannya dan selesa.




“Kami berharap dan sentiasa berdoa agar Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan baik, aman dan bebas daripada wabak COVID-19, agar kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala walaupun ada sedikit perubahan,” ujar Awang Hardy.
Jemaah lain yang ditemui turut melafazkan rasa syukur dan pancaran kegembiraan kelihatan di wajah mereka kerana dapat menunaikan solat fardu Jumaat berjemaah di masjid.
Menurut mereka, normal baharu dalam kehidupan semenjak penularan COVID-19 harus diteruskan kerana ia bukan sahaja menjaga kita daripada wabak itu, malah berupaya menghentikan jangkitannya.
Manakala seorang lagi jemaah yang ditemui, Haji Sohaili ketika ditemui bual, merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan agak terharu serta gembira apabila masjid-masjid mula dibukakan.
Menurutnya, biar pun suasana agak berlainan daripada kebiasaan apabila saf makmun diselang-selikan dalam usaha mengamalkan penjarakan sosial, ia masih lagi boleh diterima asalkan kita dapat sama-sama menunaikan solat berjemaah.
Beliau turut memuji peraturan ketat dilaksanakan di pintu-pintu masuk dan dipantau oleh para petugas khususnya anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), para pegawai dan kakitangan masjid serta sukarelawan belia masjid.
“Peraturan ketat ini ada baiknya, jika kita mematuhi segala arahan dan larangan daripada pihak kerajaan, sambil menitikberatkan kebersihan diri dan alam sekitar, ia sekali gus mampu mendisiplinkan diri dengan tatacara penjarakan fizikal, mengamalkan hidup yang sihat dan istiqamah dalam ibadah agar negara kita tetap kekal dilindungi, menjadi negara ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur’.
Solat fardu Jumaat yang ditiadakan semenjak hampir dua bulan kerana kebimbangan penularan koronavirus ditunaikan lebih 24,000 jemaah selepas bermula semula hari ini.
Ia juga dijalankan dengan beberapa perubahan antaranya khutbah Jumaat yang lebih singkat, imbasan kod QR terhadap jemaah masjid, membawa sejadah sendiri, memakai penutup mulut dan hidung, membawa kad pengenalan dan apa yang penting sudah menempah slot solat fardu Jumaat terlebih dahulu sebelum datang di aplikasi BruHealth.
Perubahan normal baharu ini meskipun sedikit sebanyak terasa janggal, namun orang ramai perlu mematuhinya kerana ia adalah untuk kebaikan dan keselamatan seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
Menurut kenyataan daripada pihak masjid dan panduan solat yang dikeluarkan, mereka yang mengalami gejala ringan seperti demam, batuk dan sebagainya, tidak perlu hadir kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.
Berdasarkan pemerhatian penulis dan respons daripada rakan-rakan, terdapat beberapa kelemahan dan kebaikan yang dapat disimpulkan, namun penulis pasti, pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan mengambil maklum perkara-perkara berbangkit dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa.
Apa yang pasti, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bersyukur atas limpah kurnia Allah SWT kerana dengan izinNya jua umat Islam kembali menunaikan solat fardu Jumaat, merafak sembah ke hadapan majlis kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang memperkenankan pembukaan semula masjid meskipun dalam keadaan negara masih diancam virus COVID-19.