Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Jemaah subuh tadarus Al-Quran Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah menzahirkan rasa syukur selepas melengkapkan bacaan 30 juzuk dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, hari ini.
Majlis berlangsung di kediaman ketua kumpulan berkenaan, Haji Zainal bin Haji Ghani di Rancangan Perpindahan Negara, Kampung Mentiri.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan surah-surah ayat lazim bermula dari Surah Ad-Duha sehingga An-Nas yang telah dipimpin oleh Haji Annuar bin Penghulu Haji Ibrahim.
Jemaah berkenaan telah mengadakan ibadah harian itu setiap selepas sembahyang Fardu Subuh yang juga dihasratkan untuk mengimarahkan lagi masjid berkenaan.
Umat Islam dituntut membaca, mempelajari dan mengambil iktibar daripada kitab Al-Quran sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian.