Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukur, teruja dianugerahi segulung ijazah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Menuntut ilmu itu tidak mengenal usia. Bahkan bukan sesuatu yang memalukan apabila seseorang itu menjadi penuntut di usia senja kerana menimba ilmu adalah proses sepanjang hayat.

    Itulah yang dibuktikan oleh salah seorang graduan Diploma Pengajian Seni Al-Quran, Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Haji Damit ketika ditemui semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke-13 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Meskipun sudah menjangkau usia 67 tahun, namun ia bukan satu penghalang bagi Pengiran Haji Zahari untuk terus mencari khazanah ilmu dengan menyelami bidang seni Al-Quran selama setahun di KUPU SB.

    “Alhamdulillah apa yang saya peroleh begitu banyak. Pada usia lebih 60 tahun ini saya berpeluang mempelajari lebih mendalam lagi tentang keindahan seni Al-Quran yang meliputi makhraj atau sebutan huruf, tajwid dan sebagainya.

    “KUPU SB pastinya sebuah universiti yang memiliki pimpinan pensyarah atau tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengetahuan mendalam tentang bidang-bidang kursus tertentu termasuk seni Al-Quran.

    Usia bukan penghalang bagi Pengiran Haji Zahari untuk menyelami bidang seni Al-Quran di KUPU SB. – Gambar oleh Bay Haqqi & Nurdiyanah R.
    Awang Muhd Aizat ketika ditemui media. – Gambar oleh Bay Haqqi & Nurdiyanah R.
    Dayang Musfirah bersama suaminya. – Gambar oleh Bay Haqqi & Nurdiyanah R.
    Dayang Zati Hanani bergambar bersama suaminya selepas berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam. – Gambar oleh Bay Haqqi & Nurdiyanah R.
    Antara yang hadir pada majlis konvokesyen tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Kami mampu menguasai segala pembelajaran dengan baik dan teratur lebih-lebih lagi sebagai bekalan pengetahuan sepanjang hayat,” tambahnya.

    Mengimbas kembali detik mula membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian Diploma khususnya dalam bidang seni Al-Quran ini, Pengiran Haji Zahari yang merupakan seorang pesara dari salah sebuah syarikat telekomunikasi berkata beliau hanya ingin mencapai matlamat untuk memantapkan segala aspek pembacaan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari.

    “Meskipun pada saat itu, saya juga begitu giat mengikuti kelas malam Al-Quran namun sememangnya masih banyak yang perlu untuk diterokai. Oleh kerana itu, saya merasa terpanggil untuk mengikuti pengajian di KUPU SB,” kongsinya.

    Menurutnya lagi, dengan adanya Kumpulan One Day One Page bersama rakan-rakan seperjuangan pesara yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu, Pengiran Haji Zahari bersyukur dengan menamatkan sesi pengajian berkenaan, pastinya menjadi niat tulusnya untuk berkongsi apa sahaja ilmu pengetahuan yang dipelajarinya itu dengan insan-insan yang memerlukan bantuan.

    “Dalam kita meniti sisa-sisa kehidupan yang sementara ini, alangkah baiknya semua masyarakat Islam termasuk generasi muda kita untuk sentiasa mendampingi dan tidak berenggang daripada Al-Quran dengan membacanya dalam kehidupan sehari-hari.

    “Bersama-samalah kita berusaha memperbaiki bacaan Al-Quran dari semasa ke semasa kerana Al-Quran bagaikan panduan dan segala keberkatan boleh diraih dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran bagi tujuan berlindung dan berubat daripada pelbagai penyakit dan musibah. Cahaya Al-Quran juga mampu menerangi hati sanubari dan menerangi kehidupan malah menerangi alam kubur kelak,” ujarnya.

    Dalami inovasi dan teknologi pendidikan Islam

    Turut berkesempatan ditemui Media Permata ialah Awang Muhd Aizat bin Mohd Sahminan selaku salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam. Sepanjang tempoh pengajian selama tiga tahun, beliau mengongsikan salah satu manfaat dan kemahiran yang diperoleh meliputi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam mengaplikasikannya dalam kepentingan program atau acara kerohanian.

    Jelasnya, penggunaan teknologi AI amat penting dalam menyelesaikan kerja-kerja yang kompleks bagi menjimatkan masa dan tenaga manusia. Teknologi AI merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu objek mempunyai kepintaran seperti manusia.

    Menerusi pembelajaran teknologi mesin dalam pengajian berkenaan, adalah amat penting untuk melengkapkan kehidupan manusia pada zaman moden bagi membolehkan mereka berdaya saing dalam era ekonomi digital. Pastinya, pengaplikasian AI dalam kehidupan manusia kini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

    Dengan terhasilnya penyelidikan berjudul ‘Pengetahuan Teknologi dan Pedagogi dalam Kalangan Guru Bagi Pelajaran Fiqh di Sekolah-sekolah Menengah di Negara Brunei Darussalam’, Dayang Musfirah binti Haji Kasim selaku salah seorang pemegang Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), turut menyatakan bahawa dalam merentas dunia tanpa sempadan, kemahiran penggunaan ICT juga menjadi salah satu keperluan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Pengajian tiga tahun ini lebih menumpukan kemahiran dalam mempelbagaikan pengajaran termasuklah strategi pengajaran yang menekankan pendekatan, teknik dan kaedah.

    Ketiga-tiga elemen ini amat mustahak dalam pengajaran dan pembelajaran,” jelasnya lagi.

    Tingkat kemahiran kebolehpasaran anak bangsa

    Selain itu, kesyukuran jelas terpancar pada wajah Dayang Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid di sisi suaminya, setelah tujuh tahun mengharungi suka duka dalam memperjuangkan amanah dalam menuntut ilmu dan akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam.

    Berkongsi sejenak tesis bertajuk ‘Kemahiran Kebolehpasaran Berdasarkan Islam Dalam Kalangan Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam di Negara Brunei Darussalam’ yang dihasilkan sebagai syarat utama dalam pengajian ijazah berkenaan, beliau menyatakan kajian berkenaan lebih berkaitan tentang kemahiran kebolehpasaran bagi pelajar IPT Islam yang mana ia sememangnya relevan dan bertepatan dengan situasi semasa ini.

    “Kajian ini membarigakan satu garis pandu khas IPT untuk meningkatkan kemahiran kebolehpasaran dalam kalangan pelajar itu sendiri untuk mengelak menjadi penganggur.”

    Dayang Zati Hanani menjelaskan antara cara untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini adalah dengan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran di IPT yang boleh diterapkan dalam tiga program utama.

    Program-program utama berkenaan merangkumi latihan mengajar atau latihan industri yang sebaiknya diketengahkan kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi Sarjana Muda Tahun 4; kemahiran kebolehpasaran menerusi program Melayu Islam Beraja (MIB); dan juga dalam aktiviti kokurikulum.

    “Jika kemahiran kebolehpasaran ini diterapkan dalam ketiga-tiga program berkenaan, secara tidak langsung golongan bakal graduan bukan sahaja mempelajari secara teori bahkan mereka juga dapat mempraktikkan segala ilmu pengetahuan berkenaan setelah tamat pengajian di universiti nanti.

    Bukan hanya tin kosong, namun mereka pasti memiliki ilmu dan berkemahiran tinggi dan Insya-Allah akan mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda