Monday, March 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukuri Hari Kebangsaan, rai keberkatan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dengan tujuan menyemai rasa kecintaan dan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Munajat Khas Wanita bagi Program Semarak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) kali ke-175 secara dalam talian kelmarin.

    Munajat khas kali ini dihadiri para tenaga akademik wanita Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya serta individu.

    Munajat Khas Wanita diserikan dengan tazkirah bertajuk Syukuri Hari Kebangsaan, Raikan Keberkatan Ramadan disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd Yusoff.

    Isi kandungan tazkirah antara lain mengongsikan bahawa Sambutan Ulang Tahun HK-41 mengingatkan kita akan nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sebagai wanita, antara peranan kita adalah mendidik anak-anak menjadi generasi pemimpin masa depan sehabis baik.

    Dalam masa yang sama, bulan Ramadan adalah hadiah istimewa yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan. Walaupun ada halangan syarie, pahala tetap boleh diraih melalui zikir, doa, sedekah dan kebaikan kepada keluarga.

    Antara yang hadir pada Munajat Khas Wanita yang diadakan secara dalam talian. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Ugama, Dayang Hajah Rostinah binti Haji Yahya, juga selaku Pemangku Timbalan Pengetua Pengajian Menengah, ITQSHHB dari Musolla ITQSHHB.

    Acara diteruskan dengan bacaan Surah As-Sajdah dipimpin oleh Pegawai Penyelidik SkiPPA, PDI, KHEU, Dayang Nor Amal Syahira @ Nor Ameera Syahira binti Rosman, dari Mushalla Al-Ameen, PDI.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pensyarah ITQSHHB, Dayang Hazirah binti Haji Hazilan.

    Selesai tazkirah, bacaan Selawat Tafrijyyah beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan wanita Jabatan Urusan Haji, KHEU dari surau KHEU.

    Acara diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Ugama SkiPPA, Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Wafaa Aiman Syakirah binti Dahlan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda