Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukuri kemerdekaan

    Oleh Norizan Murshid

     

    KEMERDEKAAN sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah Subhanahu Wataala yang mana bukan semua manusia dapat merasainya.

    Hingga kini masih ramai di kalangan bangsa belum mengenali erti kemerdekaan. Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan sesebuah negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Kedatangan Islam ke dunia ini telah membawa mesej dan sifat kemerdekaan.

    Islam menyeru manusia supaya bebas dari pemikiran jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Subhanahu Wataala. Begitu juga bebas daripada penghambaan dan ancaman musuh.

    Setiap 23 Februari sejak tahun 1984, tarikh tersebut merupakan tarikh keramat dan signifikan bagi setiap rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam kita sama-sama merintis jalan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, setiap individu, rakyat dan penduduk di negara ini mempunyai peranan bersama untuk menggapainya.

    Apa yang kita usahakan pada hari ini mungkin tidak berkesempatan untuk dinikmati nanti. Namun, kita tetap harus terus mengorak langkah dan gigih dalam menjamin apa yang terbaik untuk anak, cucu dan keturunan kita di tahun 2035 dan seterusnya.

    Apa yang pasti, kualiti kehidupan pada tahun itu akan lebih baik dan mencabar berbanding masa kini. Banyak pihak berkeyakinan bahawa kita akan mencapai dan menjadi salah sebuah negara yang mempunyai tahap kehidupan yang terbaik di dunia.

    Seratus tahun yang dilalui menghendaki kita untuk lebih peka kepada perubahan kerana perubahan itu tidak pernah menunggu lama sama ada kita lebih maju ke hadapan ataupun sebaliknya.

    Sebagai contoh perubahan dalam pendidikan. Ia merangkumi seluruh peringkat, dari peringkat rendah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.

    Menurut analisis pakar, ada tiga perkara yang penting bagi mencapai pendidikan terbaik, iaitu guru berkualiti, teknik pengajaran yang berkesan dan memastikan setiap anak bangsanya berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi melalui pembelajaran yang berkualiti.

    Dalam tempoh 17 tahun lagi, kita akan melangkah ke tahun 2035. Negara Brunei Darussalam yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja telah pun melewati 34 tahun kemerdekaan sejak tahun 1984. Mensyukuri erti kemerdekaan kali ke-34 pada tahun ini, maka wajarlah kita memikirkan dan mengimbau sejenak tentang apa yang telah dicapai oleh negara kita terutamanya kehidupan rakyat yang berdiri teguh di bawah kepimpinan raja kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bijaksana, berdaulat dan sangat mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda