Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukuri nikmat, kenang saudara seagama

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Dalam kita berhari raya dengan suasana aman, tenang, selamat dan selesa seperti yang kita rasakan ini, kita juga tidak lupa mengenang kepada ribuan, malah ratusan ribu saudara-saudara seagama yang terperangkap dalam kacau-bilau, huru-hara dan kemusnahan perang di tanah air mereka seperti saudara kita yang berada di Palestin.

    Mereka di sana dalam kegelisahan, ketakutan, berendam air mata dan bermandikan darah kerana menghadapi penindasan serta serangan musuh durjana berupa pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan tanpa ada belas kasihan sehingga mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita, di samping memusnahkan harta benda dan kehidupan masyarakat di sana. Mereka yang masih hidup pula kehilangan tempat tinggal dan bersedih kerana kehilangan orang yang tersayang, anak-anak kehilangan ibu bapa, dan ibu bapa kehilangan anak-anak.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Mat Dain @Maidin semasa menyampaikan khutbah khas Hari Raya Aidiladha yang kedua di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, pagi tadi.

    “Apabila menyaksikan penderitaan yang dialami oleh mereka yang menghadapi musibah tersebut, sudah setentunya tersirat di dalam hati dan sanubari kita perasaan belas kasihan dan simpati terhadap nasib yang menimpa mereka. Sebagai umat Islam yang diikat dengan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam, kita berserta dengan negara-negara Islam yang lain dan juga negara-negara yang mencintai keamanan dan kedamaian amatlah kesal di atas kejadian ini,” tegasnya.

    Oleh yang demikian, beliau turut menekankan dengan mengambil kira situasi dan pertempuran yang berlaku di Gaza semakin meningkat dan rakyat mengalami kebuluran dan malapetaka, maka bantuan kemanusiaan masih sangat diperlukan.

    Para jemaah yang hadir semasa mendengarkan khutbah berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Oleh itu, marilah kita terus memberikan sokongan, bantuan dan sumbangan yang kita mampu melalui Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza yang telah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sejak 18 Oktober 2023 yang lalu hingga 18 Julai 2024 sebagai platform untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan bagi membantu meringankan beban serta penderitaan yang mereka hadapi. Marilah kita terus memohon pertolongan tanpa jemu kepada Allah SWT dengan berdoa semoga saudara Islam kita di Palestin diselamatkan daripada kekejaman musuh serta penderitaan yang mereka alami berakhir dengan segera. Semoga mereka akan dapat merasai hidup yang aman dan damai seperti yang kita nikmati,” tambahnya.

    Dalam pada itu, beliau antaranya turut mengingatkan bahawa nikmat-nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita ini hendaklah sentiasa disyukuri. Antara cara mensyukuri nikmat-nikmat Allah SWT itu ialah dengan memanfaatkan segala yang dinikmati itu ke arah kebaikan tanpa ada penyelewengan, di samping sentiasa meningkatkan usaha dan kewaspadaan.

    “Kita perlu waspada terhadap sebarang anasir-anasir yang berniat jahat dan yang cuba melakukan kerosakan. Kita semua adalah bertanggungjawab mengekalkan keamanan dan keselamatan di negara kita ini. Kita juga bertanggungjawab memberikan jaminan keselamatan dan keamanan kepada anak cucu kita, zuriat dan generasi penerus pada masa hadapan,” tekannya lagi.

    Di penghujung khutbah berkenaan, beliau terus menekankan adalah penting untuk kita menyakini bahawa cara bagi mengekalkan keadaan yang aman dan selamat pada masa sekarang dan untuk zuriat kita pada masa akan datang ialah dengan meneguhkan pegangan dan keyakinan kepada agama Islam kita.

    “Berusaha dan berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT agar Negara Brunei Darussalam kekal aman dan damai, sentiasa selamat dan sejahtera, dilimpahi kemakmuran dan keberkatan, kekal berdaulat dan maju jaya dengan pemerintahan beraja yang berpaksikan Islam,” ujar beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda