Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syukuri nikmat panggilan ke Tanah Suci

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Seramai 1,000 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang akan menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci pada tahun ini telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra yang berlangsung di Dewan Bankuet BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

    Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

    Hadir sama, pengurus-pengurus dari tujuh buah syarikat pengendali pakej haji dan umrah bagi musim haji tahun 1445H/2024M.

    Yang Berhormat Pehin pada majlis itu turut menyampaikan ucapan antara lain menyatakan bahawa seruan atau panggilan suci yang sampai kepada kita untuk menunaikan ibadat haji itu adalah nikmat Allah yang amat berharga dan wajib kita penuhi dan syukuri.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa beramah mesra dengan bakal jemaah haji ketika majlis tersebut.- GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN
    ATAS & BAWAH: Antara bakal jemaah haji yang hadir pada majlis berkenaan.- GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN
    GAMBAR OLEH AZLAN OTHMAN

    Maka bakal jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini perlulah menghargai peluang beribadat haji sebaik-baiknya, tidak mensia-siakannya, tidak mencuai-cuaikannya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan bakal jemaah agar tidak lupa berazam untuk menggunakan kesempatan ketika berada di Tanah Suci nanti menunaikan ibadat haji dengan bersungguh-sungguh beribadat dan membuat kebajikan.

    Selain itu, menyeru bakal jemaah agar menjaga dan mengawal diri daripada melanggar pantang larang ibadat, bersikap ramah dan berbaik sangka sesama jemaah serta sentiasa menanamkan sifat sabar dalam setiap keadaan.

    Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Urusan Haji, KHEU melalui Bahagian Bimbingan Haji bertujuan untuk meraikan bakal jemaah haji negara, di samping sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

    Ia adalah juga untuk memohon ke hadrat Allah SWT agar semua bakal jemaah haji sentiasa mendapat perlindungan dan keselamatan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda