Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Kepimpinan raja adalah amanah besar daripada Allah SWT dan raja yang beriman, bertakwa, berilmu dan berjiwa rakyat adalah raja yang membawa rahmat dan aspirasi besar kepada negara.
“Sebagai rakyat Negara Brunei Darussalam, kita hendaklah bersyukur atas nikmat pemerintahan beraja yang adil, menyokong segala dasar kebajikan dan pembangunan serta menjadi rakyat yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak mulia.”
Perkara itu antara lain dikongsikan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa, semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk Kepimpinan Raja Aspirasi Negara bagi menyerikan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien hari ini.
Program dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah, diikuti bacaan wirid dan tazkirah subuh.
