Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Szczesny perbaharui kontrak dengan Barca

    BARCELONA, 8 JULAI – Penjaga gol Barcelona, Wojciech Szczesny, telah memperbaharui kontraknya sehingga tahun 2027, umum juara La Liga itu kelmarin.

    “Penjaga gol Poland itu kekal bersama kelab sebagai pengiktirafan dan ganjaran atas prestasinya yang cemerlang di gawang Barca, selepas ketibaannya yang tidak dijangka dalam situasi luar biasa,” kata kelab Catalan itu dalam satu kenyataan.

    Szczesny sebelum ini telah bersara daripada bola sepak apabila Barcelona menandatanganinya pada Oktober lalu bagi menggantikan Marc-André ter Stegen yang mengalami kecederaan serius dan diketepikan hampir sepanjang musim akibat koyakan tendon patela.

    Penjaga gol berusia 35 tahun itu mempamerkan aksi mengagumkan apabila membantu Barcelona menjuarai La Liga dan Copa del Rey, manakala Ter Stegen hanya kembali menyertai skuad pada minggu-minggu terakhir musim ini.

    Keputusan Szczesny untuk kekal serta tindakan Barca menandatangani penjaga gol Joan Garcia dari Espanyol awal musim panas ini menimbulkan persoalan tentang masa depan Ter Stegen di kelab tersebut.

    Penjaga gol antarabangsa Jerman berusia 33 tahun itu menerima gaji tinggi di Barcelona, dan media Sepanyol melaporkan bahawa kelab yang sedang bergelut dari segi kewangan itu ingin mengurangkan perbelanjaan dalam aspek tersebut.

    Barcelona menandatangani Garcia dari Espanyol dengan bayaran 26.34 juta euro (AS$31 juta) dalam perjanjian selama enam tahun pada Jun lalu, dan mereka masih mempunyai seorang lagi penjaga gol iaitu Inaki Pena dalam skuad. – AFP

    Wojciech Szczesny dalam sesi latihan kelab Barcelona pada bulan Februari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda