Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sze Fei-Nur Izzuddin bertaut kembali

    KUALA LUMPUR, 31 MEI – Setelah lebih empat bulan berpisah, dua pemain badminton Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani akhirnya membuat pusingan ‘U’ apabila bersetuju untuk digandingkan semula.

    Pengarah Kejurulatihan Beregu Lelaki Malaysia, Rexy Mainaky berkata Sze Fei dan Nur Izzuddin, sudah menyedari kesilapan lampau mereka dan permintaan kedua-dua pemain itu untuk dipasangkan semula, telah mendapat lampu hijau daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

    “Ya, tadi saya ada bertemu mereka berdua, sebenarnya sebelum Masters Malaysia 2023 lagi mereka mahu berjumpa namun saya tidak sempat.

    “Justeru, saya sudah maklumkan Tan Sri Mohamad Norza dan beliau okay (digandingkan semula),” katanya kepada Bernama hari ini.

    Rexy berkata demikian, selepas Mohamad Norza menerusi Instagram Story hari ini memuat naik dua keping gambar pertemuan dengan Sze Fei-Nur Izzuddin berserta kapsyen ‘One team, once again! They are back’.

    Pakar beregu dari Indonesia itu mendedahkan keinginan untuk merebut slot ke Sukan Olimpik 2024 dengan pusingan kelayakan bermula awal bulan ini sehingga April tahun depan, menjadi faktor utama mereka mahu beraksi semula di dalam gelanggang sebagai satu pasangan.

    Bagaimanapun, Rexy berkata pihaknya akan menilai semula sama ada Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini jatuh ke ranking ke-32 dunia dengan 34,800 mata, berpeluang beraksi di Kejohanan Badminton Dunia yang dijadual berlangsung di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos ini.

    Dalam pada itu, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak menolak kemungkinan bahawa Sze Fei-Nur Izzuddin mungkin akan kembali membuat penampilan pada Terbuka Korea 2023 atau Terbuka Jepun 2023, Julai ini.

    Sejak menjuarai Terbuka Jerman 2022, pasangan tersebut dilihat bergelut untuk mengekalkan konsistensi mereka, termasuk tersingkir daripada pusingan pertama pada dua kejohanan awal tahun ini iaitu Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

    Pasangan negara itu ditunjuk jalan keluar oleh pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 11-21, 17-21, pada Terbuka Malaysia dan pulang awal dari Terbuka India selepas tumpas kepada satu lagi wakil China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang 21-19, 21-17, yang juga merupakan kejohanan terakhir mereka sebelum mengumumkan perpisahan akhir Januari lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda