PUTRAJAYA, 27 FEB – Pengumuman mengenai kemasukan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ke dalam program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dijangka dibuat bulan depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang mengadakan pertemuan dengan beregu nombor dua dunia itu semalam, berkata sebarang keputusan mengenai kemasukan atau pengguguran atlet dalam program tersebut hanya akan dibuat selepas pelantikan Jawatankuasa RTG yang baharu pada Mac.
“Semalam, saya telah menjelaskan fungsi RTG, bentuk sokongan yang disediakan serta cabaran yang mereka hadapi kerana mereka bukan di bawah naungan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) ketika ini. Mereka kini beregu lelaki nombor satu negara… Perbincangan akan terus berlangsung.
“Sekretariat RTG kini sedang menyusun senarai atlet dalam kedudukan 10 teratas dunia untuk disenaraikan dalam RTG dan diberikan sokongan tambahan sebagai persiapan ke LA28,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Putrajaya, hari ini.
Kriteria utama untuk disenaraikan dalam RTG ialah menduduki kelompok 10 terbaik dunia.
Hannah sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan turut merancang untuk berjumpa dengan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia bagi membincangkan mengenai program RTG.
Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia sejak meninggalkan BAM pada Ogos lalu, antaranya muncul juara Terbuka India, Terbuka China dan Terbuka Jepun. – Bernama
