KUALA LUMPUR, 29 OGOS – Beregu lelaki profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan kempen Kejohanan Dunia 2025 di Paris dengan kekecewaan setelah mengalami kekalahan mengejut pada pusingan ketiga, kelmarin.
Pasangan pilihan ketiga itu dipaksa beraksi sehingga set penentuan sebelum tewas 20-22, 21-15, 21-23 kepada gandingan pilihan ke-16 dari Taiwan Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan dalam perlawanan sengit selama 50 minit di Adidas Arena.
Jhe-Huei–Po-Hsuan akan bertemu beregu China Chen Bo Yang-Liu Yi pada suku akhir hari ini selepas menyingkirkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark dengan 21-17, 22-20.
Berbeza pula dengan nasib satu lagi beregu Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang juga pilihan ketujuh, apabila menepati ramalan mara ke suku akhir hasil daripada kemenangan 21-18, 21-18 menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.
Mereka bakal berdepan cabaran besar kerana akan berdepan pilihan utama kejohanan yang juga beregu nombor satu dunia Kim Won Ho-Seo Seung Jae. – Bernama


