Wednesday, September 25, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sze Fei-Nur Izzuddin huni kelompok 10 terbaik dunia

    KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Beregu lelaki profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani hari ini kembali menghuni kelompok 10 terbaik dunia, selepas merangkul gelaran juara Terbuka China pada 22 September.

    Berdasarkan kemas kini ranking dunia terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Sze Fei-Nur Izzuddin naik empat anak tangga untuk berada di ranking kelapan dunia.

    Bagaimanapun, pasangan beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih belum beraksi pada kejohanan Jelajah Dunia selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kecederaan Wooi Yik, kekal sebagai gandingan terbaik negara dengan menghuni ranking kelima dunia.

    Pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang kekal berada di ranking pertama dunia acara beregu lelaki meskipun tewas di pusingan 16 terbaik Terbuka China.

    Sementara itu, pemain perseorangan profesional lelaki Malaysia, Lee Zii Jia, turun dua anak tangga untuk menghuni ranking kelima dunia, selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka China.

    Zii Jia yang sebelum ini berada di tangga ketiga dunia, kini dipintas pemain Denmark Anders Antonsen yang berada di ranking ketiga dan pemain Jepun Kodai Naraoka (keempat). – Bernama

    Reaksi Nur Izzuddin (kanan) dan Goh Sze Fei meraikannya kemenangan mereka dengan pingat emas semasa kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou pada 22 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda