KUALA LUMPUR, 17 DIS – Gandingan profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merampas kedudukan selaku beregu lelaki nombor satu Malaysia yang sebelum ini milik juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Berdasarkan ranking dunia terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Sze Fei-Nur Izzuddin melonjak empat anak tangga ke tempat ketiga selepas mengumpul 85,916 mata yang merupakan pencapaian tertinggi dalam karier mereka.
Pencapaian itu diperoleh susulan prestasi cemerlang apabila muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China pada Ahad lepas.
Sze Fei-Nur Izzuddin, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan itu, tewas 17-21, 21-17, 11-21 kepada pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan.
Selain muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024, Sze Fei-Nur Izzuddin turut merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia musim ini iaitu Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka China (Super 1000), dan Terbuka Artik (Super 500).
Sementara itu, Astrup-Rasmussen melangkah ke tangga utama ranking dunia dengan 95,003 mata, menggantikan tempat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, yang turun ke tempat kedua dengan 93,018 mata.
Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang gangsa Olimpik Paris 2024 turun satu anak tangga di tempat keenam dengan 82,615 mata. – Bernama
