Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sze Fei-Nur Izzuddin kini pasangan nombor satu dunia

    KUALA LUMPUR, 28 MEI – Beregu lelaki profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini bergelar gandingan nombor satu dunia dalam kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin.

    Gandingan yang mengumpul 91,090 mata itu memanjat satu anak tangga memintas pasangan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan 90,411 mata selepas beregu Denmark itu gagal mempertahankan kejuaraan di Masters Malaysia minggu lepas.

    Kejayaan Sze Fei-Izzuddin itu menjadikan mereka pasangan beregu lelaki Malaysia pertama mencapai ranking nombor satu dunia sejak Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada 2016 sekali gus menyertai senarai legenda terdahulu termasuk Razif-Jalani, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.

    Januari lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin menjuarai Terbuka India namun gagal mengekalkan momentum apabila prestasi mereka dilihat merudum apabila gagal mara ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan selepas itu.

    Pasangan itu selepas ini akan beraksi di Terbuka Singapura dan membuka kempen menentang beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

    Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yil kekal di tangga ketiga dunia manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketujuh hasil daripada kejayaan mereka muncul juara Masters Malaysia 2025 Ahad lepas. – Bernama

    Aksi Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin semasa perlawanan suku akhir beregu lelaki menentang pemain China pada Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, di Wilayah Zhejiang timur China pada 11 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda