Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Nikmat keamanan, kedamaian dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini adalah berkat daripada kepimpinan raja yang bijaksana yang sentiasa menitikberatkan ajaran agama Islam.
Ajaran Islam sangat dititikberatkan oleh raja dan ulil amri yang kita taati dan kasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang pada tanggal 15 Julai ini genaplah usia Baginda 75 tahun.
Sepanjang lebih lima dekad pemerintahan Baginda, dengan izin dan rahmat Allah, selaku rakyat dan penduduk negara ini dapat menikmati keamanan, kedamaian dan kemakmuran, kata khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Mentaati dan Mensyukuri Kepimpinan Raja’.
Menurutnya, kepimpinan raja tidak pernah membelakangi agama dalam apa sekalipun malah kepimpinan Baginda sentiasa berusaha dengan gigih untuk menjadikan bumi Darussalam sebagai sebuah negara zikir iaitu negara yang sentiasa mengingati dan mendahulukan Allah dalam apa juga tindakan yang diambil, sentiasa menyebut dan mengamalkan ajaran Allah dalam segenap bidang kehidupan.
Dalam bidang pentadbiran dan pengurusan negara pula, agama Islam terus mendominasi dan mewarnai setiap gerak langkah untuk maju ke hadapan dan dalam makna yang lebih luas, ajaran Islam itu di depan dan diutamakan daripada segala-segalanya.
Di samping itu, Islam juga terus diperhebat dan diaplikasikan dalam kehidupan rakyat dan penduduknya.
Menurut khatib lagi, hasilnya, negara terus menikmati kesejahteraan dan kesentosaan yang berpanjangan dan terhindar daripada pelbagai kemelut seperti huru-hara, perpecahan, ketidakstabilan politik dan ekonomi, bencana alam yang terus dan seumpamanya.
Khatib seterusnya menambah, sejak Baginda menaiki takhta pada tahun 1967 dengan izin Allah, Negara Brunei Darussalam telah mengalami dan mencapai banyak kemajuan dalam pelbagai bidang sama ada agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lainnya.
Dengan kepimpinan, usaha dan kegigihan Baginda itu, tegas khatib, ia telah membawa Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia.
Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, adalah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa taat dan patuh kepada raja dan pemimpin kita.
Sesungguhnya mentaati dan mematuhi pemimpin adalah sebahagian daripada ciri-ciri orang yang beriman dan bertakwa serta tanda ketaatan kepada Allah dan rasulNya.
“Taat dan patuh kepada pemimpin itu mempunyai pengertian yang amat luas, ia bukan saja terhad kepada mematuhi segala perintah dan arahan yang diberikan secara lisan tapi ketaatan yang dimaksudkan juga adalah meliputi dalam mentaati dan mematuhi serta melaksanakan segala peraturan, dasar dan undang-undang negara.”
“Sehubungan itu, marilah kita menjadi hamba yang sentiasa mentaati dan patuh kepada Allah dan rasulNya serta menjadi rakyat dan penduduk yang sentiasa taat dan patuh kepada raja.
“Sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga detik hari ulang tahun keputeraan yang bersejarah ini akan berulang lagi tahun demi tahun dan dengan Baginda beroleh pemeliharaan, perlindungan dan pertolongan Allah serta kekal karar memerintah bumi bertuah Brunei Darussalam,” kata khatib.