Tabah dan reda terima ketentuan Ilahi

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar serahan Kementerian Kesihatan dan Awang Mohammad Hisyamuddin

Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian, tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin pasti tetap akan menghadapinya cuma, yang membezakannya bentuk ujian yang diterima oleh setiap manusia.

Ujian merupakan salah satu tanda kasih sayang dari Allah SWT. Andai ditakdirkan menerima musibah jangkitan COVID-19, sabar dan reda adalah kunci segalanya, di samping berusaha menjalani perubatan demi kembali pulih seperti sebelumnya.

“Sedih itu pasti ada, namun inilah takdir yang perlu diterima dengan hati yang terbuka.

Meski pahit rasanya menjadi salah seorang mangsa jangkitan, namun saya yakin ujian ini pasti ada hikmahnya,” itulah antara luahan tulus Awang Mohammad Hisyamuddin bin Haji Hidop yang disahkan positif COVID-19 pada 8 September lalu kerana jangkitan daripada rakan sekerjanya.

Kini, lebih seminggu, beliau sudah menjalani kuarantin di COVID-19 Holding Area Lumut Kem (CHALK) iaitu salah sebuah pusat pengasingan di negara ini. Beliau menjelaskan setelah mendapati dirinya positif COVID-19 pada awal September melalui hasil dari pemeriksaan ujian swab di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, antara langkah terawal yang dilaksanakan ialah dengan melakukan kuarantin kendiri (self-isolation) dalam bilik di kediamannya.

Awang Mohammad Hisyamuddin ketika berada di pusat pengasingan di COVID-19 Holding Area Lumut Kem (CHALK).
Awang Mohammad Hisyamuddin semasa berkongsi pengalamannya secara dalam talian bersama pengamal media tempatan yang diketuai oleh dua orang pegawai dari Kementerian Kesihatan.
Antara bekalan makanan dan minuman yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan semasa Awang Mohammad Hisyamuddin menjalani kuarantin.

“Saya kuatkan hati ini untuk memberitahu secara dalam talian kepada ahli keluarga saya akan keadaan yang saya alami pada ketika itu.

“Berat rasanya namun inilah jalan yang terbaik demi keselamatan bersama, lebih-lebih lagi saya menetap bersama sembilan orang ahli keluarga yang lain di rumah,” ujarnya dengan kerendahan hati yang juga bersyukur ahli keluarga yang lain semua mendapati keputusan ujian swab mereka negatif.

Segalanya mencukupi

Dalam masa sama, beliau bersyukur, Allah masih memberi peluang dirinya untuk mengikuti sesi perubatan secara berkuarantin di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan. Awang Mohammad Hisyamuddin berkongsi cerita, sepanjang tujuh hari beliau menjalani rawatan di sana, selain kemudahan-kemudahan yang disediakan, pemantauan dan pemeriksaan kesihatan juga dijalankan secara rutin oleh pihak kesihatan.

“Makan dan minum di pusat itu adalah mencukupi dan sentiasa dijaga dari segi kesihatan jika terjadi simptom seperti batuk, sesak nafas dan sebagainya dari semasa ke semasa.

Kebiasaanya, pemeriksaan harian dilakukan setiap pagi dan malam iaitu pemeriksaan dari segi tekanan darah dan juga pemantauan keadaan diri seperti batuk, selesema, sesak nafas dan sebagainya,” tambahnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di salah satu agensi keselamatan di negara ini.

Awang Mohammad Hisyamuddin, merupakan salah seorang pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala, telah dikhaskan menjalani kuarantin bersama 11 pesakit yang lain turut menjelaskan bahawa sebelum mengikuti sesi kuarantin berkenaan, beliau telah dimaklumkan pada hari sebelumnya.

Dari itu, beliau turut membuat persediaan dengan membawa barangan keperluan diri merangkumi pakaian, makanan dan minuman ringan serta segala keperluan produk barangan penjagaan diri.

Lakukan kegiatan positif

Berkongsi kegiatan rutin, pemuda berusia 28 tahun ini menyatakan bahawa dalam mengurangkan rasa bosan itu, beliau dan para pesakit yang lain sering melakukan beberapa kegiatan yang sihat secara persendirian seperti senaman ringan dan joging, selain mengikuti perkembangan semasa menerusi televisyen dan media sosial.

“Fikiran mestilah sentiasa positif untuk sembuh. Setiap hari mesti kuatkan minda dan jiwa untuk melakukan apa sahaja kegiatan yang bermanfaat untuk kecergasan tubuh badan serta kesihatan mental dan fizikal” jelasnya lagi.

Kerinduan Pasti Ada …

Kerinduan terhadap ahli keluarga dan rakan-rakan memang sering terpahat dalam jiwanya, namun Awang Mohammad Hisyammudin bersyukur masih diberikan peluang merasai berkomunikasi bersama mereka menerusi panggilan video sahaja.

“Meski pun jauh di mata namun dekat di hati, semangat saya semakin kuat dengan adanya sokongan dan doa-doa mereka demi kesembuhan diri ini.

“Saya di sini, turut mendoakan mereka semua dan sesiapa sahaja sentiasa dalam perlindungan Allah SWT agar dijauhi dari sebarang jangkitan di mana-mana sahaja mereka berada,” luahnya dengan harapan tulus.

Bersyukur sempat menerima vaksin

Berkesempatan menerima dos vaksin pertama jenis Moderna, Awang Mohammad Hisyammudin turut mengungkapkan kesyukuran di atas langkah pencegahan itu yang pastinya pengambilan vaksin itu dirasai amat membantu mengurangkan gejala yang lebih teruk pada dirinya.

“Jika saya belum menerima vaksin sebelum ini, saya tidak tahu di mana saya sekarang. Alhamdulillah, saya sempat mengambilnya meski pun baharu dos pertama.

“Lebih-lebih lagi, tempoh ini turut melatih diri ini untuk menghilangkan tabiat merokok saya, kerana di sini kami dilarang merokok dan Insya-Allah saya akan usahakan sampai bila-bila,” jelasnya dengan senyuman semasa mengakhiri sesi temu bual dalam talian, baru-baru ini.

Dalam pada itu, jelas beliau, pihak Kementerian Kesihatan juga menitikberatkan arahan-arahan SOP sentiasa dipraktikkan meskipun mereka tiada menunjukkan sebarang gejala. Apa pun tambahnya, kita harus bertawakal dan berserah kepada Allah SWT.