Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabah dan redha membesarkan ‘Anak Syurga’

    SEBAIK mendirikan rumah tangga, tiada yang diharapkan pasangan suami isteri selain mendoakan supaya dikurniakan zuriat yang comel sebagai penyeri hidup. Namun, semuanya atas aturan Yang Maha Besar, keterujaan menerima cahaya mata diuji apabila anak yang dilahirkan tidak seperti yang didambakan.

    Semuanya atas ketentuanNya yang telah ditetapkan, anak yang dilahirkan tidak seperti anak yang lain. Hadapi masalah kesihatan yang langsung tidak terlintas di fikiran. Banyak wang ringgit habis digunakan untuk keperluan anak yang tidak sihat. Bukan itu sahaja, suami isteri perlu berkorban masa, wang dan sebagainya untuk memastikan anak itu turut mendapat perhatian yang sewajarnya.

    Kadang-kadang, ia boleh menguji kesabaran suami isteri. Hinggakan pernah terlintas putus asa dan kadang-kadang mungkin mengalami perselisihan faham antara suami isteri. Jadi, bagaimanakah cara untuk memulihkan kembali perasaan suami isteri dalam menghadapi ujian seperti ini.

    Sentuhan emosi

    Apa yang perlu difahamkan buat ibu bapa yang berada dalam situasi ini adalah pujuk redha di hati untuk menerima anak sebagai rezeki dan amanah Allah untuk kita uruskan. Tiada ibu bapa yang tidak sedih dengan keadaan anak-anak begitu, tetapi menerimanya sebagai amanah Allah menjadikan kita lebih menerima dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang sesuai dengan keadaan anak kita, malah kecacatan dan penyakit itu juga adalah amanah Allah untuk kita uruskan.

    Ibu bapa harus sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya untuk anak-anak terus menikmati kehidupan, perkukuhkan hubungan kekeluargaan untuk terus kuat bertahan dalam menghadapinya bersama.

    Situasi begini juga boleh menjadi asbab kepada hubungan kekeluargaan kita menjadi lebih akrab dan bersatu untuk mengumpul kekuatan menghadapi situasi sebegini. Berbanggalah dengan kelebihan dan keistimewaan yang memberikan kebahagiaan kepada kita, di samping didik hati menerima ujian serta berusaha mencari penyelesaian dengan sabar.

    Jangan sisihkan anak

    Tidak nafikan akan ada pandangan negatif atau serong daripada masyarakat yang kadang-kadang tidak memahami ataupun wujud daripada sikap suka memandang rendah kepada orang lain. Namun sebagai ibu bapa, kita perlu memupuk rasa hormat dan menghargai kehadiran anak kita. Sebaiknya kena bijak mencari kelebihan yang dianugerahkan untuk anak kita. Ini kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

    Suburkan hati anak dan ahli keluarga lain agar menghayati kefahaman mengenai betapa kita tidak perlu mengalah dan malu dengan kekurangan. Sebaliknya, kita ada kelebihan yang tidak ada pada orang lain.

    Optimumkan masa anak-anak dengan kita supaya terisi dengan kasih sayang dan elakkan daripada ditemukan dengan cemuhan dan pandangan serong orang yang tidak memahami. Kita juga perlu bijak untuk menyalurkan pendidikan atau rawatan yang sesuai seperti pendidikan khas ataupun pusat-pusat rawatan khusus mengikut kesesuaian masalah anak kita. Barangkali kita juga rasa jauh hati dengan situasi yang berbeza dengan anak-anak normal orang lain, tetapi fikirkan tentang masa depan anak-anak kita yang lebih baik.

    Tanggungjawab ibu bapa

    Apabila anda diuji sebegini, kita yang paling diharapkan untuk menjaga dan menjadi penyokong untuk mereka terus menikmati kehidupan. Kitalah orang yang paling memahami dan memiliki kasih sayang yang paling tinggi dan tulus berbanding orang lain.

    Peranan kita untuk sentiasa jadi pelengkap kepada kekurangan mereka, begitu juga kita sebagai penjaga serta perawat untuk penyakit mereka dengan penuh kasih sayang.

    Allah memilih hanya mereka yang mampu, untuk setiap bentuk ujian yang didatangkan. Bahagiakan sebaiknya anak-anak kita di dunia dan pujuklah bergembira dengan janji Allah untuk kita bahagia bersamanya di syurga nanti.

    Usir perasaan malu

    Secara fitrahnya, ibu bapa akan rasa bahagia dan bangga dengan anak keturunannya, walaupun kadangkala tidak sempurna. Perasaan malu wujud bila kita tidak memahami konsep kurniaan dan ujian Allah.

    Nasihat buat ibu bapa

    Para ibu bapa harus sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya untuk anak-anak terus menikmati kehidupan, perkukuhkan hubungan kekeluargaan untuk terus kuat bertahan dalam menghadapinya bersama.

    Jadilah pendorong dan penyokong setia kepada anak-anak, dengan usaha melengkapkan kekurangan yang ada pada mereka untuk kita sama-sama menghayati keindahan hidup seadanya. Untuk kita didik syukur dan sabar, kita lihat kepada mereka yang lebih tidak bernasib baik dan berdepan ujian yang lebih besar daripada kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda