Anggota kumpulan Dolla, Tabby, 24, mengakui ini tahun kedua dia berpuasa pada Ramadan dan mahu meneruskan amalan itu kerana mempunyai ramai rakan beragama Islam yang mengamalkan Rukun Islam ketiga itu.
Menurut Harian Metro, Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam berkata, pada mulanya dia cuba melakukan amalan itu kerana mengikut dua anggota Dolla iaitu Sabronzo dan Syasya yang berpuasa pada Ramadan tahun lalu.
“Saya akui pada tahun pertama berpuasa ia sangat sukar kerana semua anggota Dolla suka minum kopi pada waktu siang hari.
“Kalau minum kopi dekat jam 7 lebih dan masuk waktu berbuka puasa nanti kita tak boleh tidur.
“Pada masa sama, saya juga suka minum air dan sangat susah mahu elak dari minum air sejuk bila ada penggambaran di luar kerana cuaca negara kita yang panas,” katanya.
Mengenai berpuasa lagi, kata Tabby, dia juga merancang berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini.
“Saya tidak dapat puasa penuh tahun lalu kerana ada halangan. Tahun ini agak mudah bagi saya kerana sudah ada pengalaman berpuasa pada tahun lalu.
“Sabronzo dan rakan-rakan beragama Islam juga banyak menyokong saya berpuasa dan ada masanya kami dapat berbuka bersama. Begitu juga anggota keluarga, mereka juga memahami yang saya mempunyai ramai rakan berpuasa.
“Salah satu sebab saya berpuasa juga kerana amalan ini baik untuk kesihatan. Saya pula amalkan diet dan berpuasa adalah amalan sihat untuk tubuh kita,” katanya.
Ditanya mengenai bersahur pula, kata Tabby, dia juga bangun seawal jam 5 pagi untuk makan sahur. – Agensi
