Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabiat harian boleh jadi penyebab sakit gigi

    ANTARA semua penyakit, sakit gigi memang sedaya upaya dielakkan. Bukan apa, nama sahaja sakit gigi tapi tahap kesakitan dirasai hingga ke kepala. Berdenyut-denyut hingga susah hendak tidur lena.

    Nak tak nak memang perlu berjumpa doktor gigi. Dengar nama pun sudah gerun, apatah lagi hendak berjumpa. Terbayang-bayang perkakasan tajam dalam bilik doktor. Sebolehnya memang tidak mahu jumpa doktor gigi. Sanggup guna kaedah tradisional untuk kurangkan sakit.

    Kalau sudah terlalu sakit, baru hendak mahu berjumpa doktor. Padahal memberus gigi setiap pagi dan malam tidak pernah tinggal, tapi masih ada juga gigi yang sakit. Kenapa sakit gigi itu masih boleh berlaku?

    Penyebab sakit gigi

    Sebenarnya tanpa kita sedar, tabiat yang kita selalu buat selama ini, perlahan-lahan membuatkan gigi retak atau patah dan seterusnya sakit, seperti:

    1. Makan ais

    Biasanya makan ais akan menyebabkan rasa ngilu. Tapi tahukah anda , apabila anda kerap mengunyah ais yang keras, tisu lembut dalam gigi lama-kelamaan akan menjadi retak dan sekali gus menyebabkan sakit gigi.

    2. Melaga gigi

    Ada orang yang biasa melaga gigi ketika tidur. Tabiat yang berlaku akibat stres ini biasanya dilakukan di bawah sedar. Ia boleh menyebabkan hakisan gigi jika dilakukan dalam tempoh yang panjang.

    Biasanya makan ais akan menyebabkan rasa ngilu. Tapi tahukah anda , apabila anda kerap mengunyah ais yang keras, tisu lembut dalam gigi lama-kelamaan akan menjadi retak dan sekali gus menyebabkan sakit gigi. – Gambar hiasan
    Buka barang dengan gigi. Ini memang tabiat yang biasa sangat sebab cepat, tidak perlu lagi guna gunting atau pisau. Namun sebenarnya perbuatan ini boleh membuatkan gigi retak malah berkemungkinan patah. – Gambar hiasan
    Bawang putih bersifat antibiotik dan sangat efektif untuk mengurangkan sakit gigi.

    3. Makan gula-gula kenyal

    Memang semua gula-gula boleh menyebabkan masalah gigi tapi gula-gula kenyal seperti gummies candy memburukkan keadaan kerana ia mudah melekat pada gigi. Apabila tidak dibersihkan secepat mungkin, gula dalam gummies candy berubah menjadi asid dan menghakis gigi.

    4. Minum minuman berkarbonat

    Sama seperti gula-gula, minuman berkarbonat mengandungi kandungan gula yang tinggi dengan tambahan asid fosforik serta asid sitrik yang boleh menjejaskan enamel gigi.

    5. Buka barang dengan gigi

    Ini memang tabiat yang biasa sangat sebab cepat, tidak perlu lagi guna gunting atau pisau. Namun sebenarnya perbuatan ini boleh membuatkan gigi retak malah berkemungkinan patah.

    6. Makan kerepek kentang

    Bukan makanan manis saja yang boleh menghasilkan asid pada gigi, tetapi juga makanan berkanji. Dalam masa 20 minit jika gigi tidak dibersihkan selepas memakannya, asid dari baki makanan yang tertinggal dalam mulut akan menghakis gigi.

    7. Kerap makan makanan ringan

    Bila kerap makan, mulut sentiasa digunakan untuk mengunyah tanpa sempat dibersihkan dengan betul. Jadi, saki baki makanan mudah berkumpul dalam mulut. Hasilnya, asid daripada baki makanan akan cepat menyerang gigi.

    8. Gigit hujung pen atau pensel

    Salah satu tabiat yang biasa kita nampak orang lakukan. Mahu tahu kesannya pada gigi? Tengok sahaja kesan kemek pada hujung pen atau pensel. Begitu jugalah kesannya pada gigi anda.

    9. Minum kopi

    Memang sedap dapat minum kopi setiap pagi dan petang. Namun warnanya yang hitam gelap meninggalkan kesan kuning pada gigi.

    10. Hisap rokok

    Asap dari rokok bukan sahaja meninggalkan warna kusam pada gigi malah boleh menyebabkan radang gusi. Akibatnya gigi mudah reput dan tertanggal. Bawa-bawalah berhenti merokok.

    Sayang tak gigi anda? Jadi, elakkan daripada melakukan 10 perkara di atas. Dalam masa sama, boleh jimatkan duit daripada pergi jumpa doktor gigi. Kalau takut jumpa doktor gigi, boleh cuba petua sakit gigi. Dan kalau guna petua dan masih tak menjadi, mahu tidak mahu kena jumpa doktor gigi.

    Petua mudah hilangkan sakit gigi

    Sebenarnya banyak kaedah atau petua tradisional yang boleh digunakan untuk hilangkan sakit gigi berlubang buat sementara waktu. Ianya sangat mudah diamalkan memandangkan kebanyakan bahannya memang tersedia di dapur rumah. Di sini dikongsikan beberapa tip dan petuanya:

    1. Membersihkan mulut dan gigi

    Semenjak kecil lagi kita sudah disogok dengan betapa pentingnya penjagaan gigi yang sempurna. Kalau dahulu sewaktu kecil ibu selalu berpesan ‘Berus gigi sebelum tidur, nanti dimakan ulat!’.

    Gigi perlu diberus dengan menggunakan kaedah dan juga pada waktu yang betul. Bakteria merupakan sebab utama sakit gigi berlanjutan. Ia juga merupakan penyebab kepada kerosakan gigi dan gusi.

    Jadi, hilangkan sakit gigi dengan membersihkan mulut supaya dapat membunuh bakteria tersebut. Sebagai langkah penjagaan, jangan lupa atau malas untuk membersihkan gigi dan mulut beberapa ketika setelah selesai makan.

    2. Garam

    Ini adalah merupakan bahan paling mudah untuk didapati di rumah. Mustahil di dapur sesebuah rumah tidak mempunyai garam bukan?

    Ternyata di sebalik rasa masin garam tersebut, kandungan sodiumnya mampu hilangkan sakit gigi yang berlubang. Caranya mudah sahaja, ambil sedikit garam dan larutkan di dalam segelas air mineral suam dan gunakan larutan tersebut sebagai bahan kumur atau ‘mouthwash.’

    Boleh dikumur berkali-kali sehingga rasa denyutan tersebut berkurangan. Tetapi anda tidak disarankan untuk mengunyah garam tersebut.

    3. Limau nipis

    Siapa kata limau nipis hanya boleh dijadikan bahan minuman, masakan dan cucian semata-mata? Selain daripada kegunaan-kegunaan tersebut, limau nipis juga boleh bertindak sebagai ubat!

    Caranya, potong limau nipis kepada bahagian-bahagian kecil lalu diperah jusnya ke dalam bekas. Gunakan sudu kecil untuk mengambil jus tersebut, lalu titiskan sedikit demi sedikit ke atas bahagian gigi yang sakit.

    Berhenti seketika dan ulang lagi setelah 10 minit berlalu sehingga habis jus. Vitamin C yang terkandung di dalam limau nipis mampu hilangkan sakit gigi yang dialami.

    4. Bawang putih

    Bawang putih bersifat antibiotik dan sangat efektif untuk mengurangkan sakit gigi. Bagaimana?

    Ambil satu labu bawang putih dan kupas kulitnya. Tumbuk sehingga halus, tambahkan sedikit garam dan kemudian oleskan pada bahagian gigi yang sakit. Ulangi langkah rawatan ini beberapa kali atau beberapa hari untuk menghilangkan sakit tersebut.

    5. Bawang merah

    Selain bawang putih, bawang merah juga boleh digunakan sebagai ubat. Ambil satu labu bawang merah, kupaskan kulitnya lalu dihiris. Kemudian kunyah hirisan bawang tersebut menggunakan bahagian gigi yang sakit sehingga rasa sakitnya hilang. Jika tidak mampu untuk mengunyah, hirisan bawang tersebut boleh digosok pada gigi. Ini dapat membantu membunuh bakteria penyebab jangkitan.

    6. Biji asam jawa

    Untuk biji asam jawa, ambil segenggam biji asam jawa lalu tumbuk atau kisarkan sehingga halus. Oleskan biji yang telah dikisar itu pada gigi. Simpan lebihan bahan tersebut dan boleh digunakan semula apabila sakit kembali.

    7. Tuam menggunakan ais

    Akhir sekali, untuk menghilangkan sakit gigi di rumah, ambil beberapa ketul ais lalu masukkan ke dalam beg plastik. Kemudian, tuam di atas pipi bahagian gigi yang sakit. Langkah ini bertindak seperti menggunakan ubat kebas dan mampu meredakan sakit buat sementara waktu.

    Kunjungi doktor gigi sekiranya perlu

    Anda perlu cepat berkunjung ke klinik gigi dan menampal lubang pada gigi dengan segera untuk mengelakkan lubang tersebut menjadi lebih teruk. Haruslah diingat bahawa petua di atas hanya mampu mengurangkan sakit gigi buat sementara waktu sahaja. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda