Sunday, April 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabib sukarelawan dipenjara, ambil gambar pesakit secara sembunyi

    SINGAPURA, 10 APRIL – Seorang lelaki yang bertugas secara sukarela sebagai tabib perubatan tradisional Cina (TCM), telah dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan selepas didapati bersalah mengambil gambar pesakit secara sembunyi di dalam klinik.

    Tertuduh, Liew Meng Fatt, 57 tahun, mengambil kesempatan daripada kedudukannya di dua buah klinik TCM, dengan melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap beberapa pesakit wanita sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun. Sebanyak 137 gambar pesakit dalam keadaan tidak wajar telah dirakam tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.

    Menurut dokumen mahkamah, Liew bekerja secara sambilan sebagai tabib TCM antara Ogos 2020 hingga September 2022. Dalam menjalankan rawatan seperti akupunktur, dia akan meminta pesakit berbaring meniarap di atas katil, lalu mengambil gambar secara sembunyi ketika mereka berada dalam posisi yang terdedah.

    Lebih membimbangkan, Liew menjadi semakin berani apabila bertindak mengambil gambar salah seorang mangsanya walaupun wanita berkenaan ditemani suaminya dalam bilik rawatan yang sama.

    Kesalahan Liew terbongkar apabila isterinya sendiri menemui imej-imej berkenaan yang disimpan dalam peranti elektronik di rumah mereka. Wanita itu kemudian menyerahkan bukti kepada pihak polis, termasuk dua telefon pintar, dua cakera keras dan sebuah komputer riba.

    Hasil siasatan menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan wanita menjadi mangsa perbuatan Liew. Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengintip secara rahsia (voyeurism), manakala empat lagi pertuduhan serupa diambil kira semasa proses hukuman. – ANN/The Star

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda