Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabika manfaatkan tanah terbiar jadi kebun timun

    MALAYSIA – Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Seroja, Kampung Bertam Baru, berjaya memanfaatkan kawasan tanah lapang seluas 0.1 hektar dengan projek fertigasi tanaman timun batang sejak pertengahan Ogos lepas.

    Pengerusi Tabika Sri Seroja, Naim Sulaiman, 61, berkata projek yang dilaksanakan di bahagian belakang tabika itu diusahakan di bawah Program Rakan Kebun yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

    “Ahli jawatankuasa (AJK) Program Rakan Kebun ini terdiri daripada 20 ibu bapa kanak-kanak tabika ini, mereka bersama-sama turut serta dalam kerja-kerja pertanian.

    “Setakat ini kami berjaya menanam timun batang lebih 200 polibeg bermula pada 25 Ogos lalu. Sehingga hari ini hasil yang dituai mencecah kira-kira 50 kilogram (kg),” katanya ketika ditemui pemberita.

    Beliau berkata hasil tuaian telah dijual di kampung-kampung berhampiran termasuk Kampung Jerek dan sekitar bandar Gua Musang, malah sehingga ke Kampung Stong dan Jelawang di daerah Dabong, Kuala Krai.

    Naim (kiri) bersama Noor Asiah menunjukkan hasil timun batang yang dituai di Tabika KEMAS Sri Seroja di Kampung Bertam Baru. – Gambar Bernama
    Noor Asiah memetik timun batang yang ditanam secara fertigasi di Tabika KEMAS Sri Seroja, Kampung Bertam Baru. – Gambar Bernama

    “Saya jangkakan hasil tuaian akan bertambah antara 70kg ke 80kg dalam masa sebulan lagi. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi memberi bantuan bagi meluaskan lagi penglibatan dan kemahiran bercucuk tanam secara fertigasi,” katanya.

    Menurut seorang AJK, Noor Asiah Abdul Kadir, 60, mereka telah menuai hasil empat kali sejak projek itu mula dilaksanakan.

    Beliau berkata hasil tuaian projek itu turut dapat membantu ahli-ahli lain menjana pendapatan sampingan.

    Bagi Norain Zubaidah Che Mohamad, 33, beliau menyertai program di bawah anjuran komuniti kampung yang dipanggil Sahabat Komuniti Desa.

    “Projek ini bagus untuk ibu bapa yang lebih mengeratkan hubungan kami ketika menyiram pokok setiap hari dan apabila kita mendapat hasil tanaman, keuntungan jualan dibahagikan kepada ahli dan juga tabung tabika,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda