Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    TABP terima sumbangan $41,540

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP) Kementerian Kesihatan menerima sumbangan berjumlah $41,540 hasil daripada kutipan derma Projek Jangkauan Masyarakat yang dilaksanakan oleh Kumpulan An-Nasirin daripada Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Ke-36 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam yang dijalankan oleh Institut Perkhidmatan Awam.

    Penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini, di mana sumbangan disampaikan oleh Kumpulan An-Nasirin kepada Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan.

    Kutipan derma berkenaan berlangsung dari 11 Ogos sehingga 27 September, dan selain sumbangan wang, projek itu juga telah berjaya mengumpulkan derma ‘in-kind’ berupa peralatan dan keperluan perubatan pesakit iaitu antaranya kerusi roda dan susu tepung khusus yang dianggarkan berjumlah sekitar $5,000.

    Projek yang dikendalikan oleh Kumpulan An-Nasirin bertajuk, ‘Hulurkan Bantuan, Sinari Kehidupan’, yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai pesakit yang menghadapi isu psiko-sosial yang dirujuk kepada Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan.

    Dr Hajah Rafidah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Kumpulan An-Nasirin di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KUMPULAN AN-NASIRIN

    Ia juga bermatlamat untuk mengumpulkan dana bagi memastikan mereka akan terus mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial dalam masa segera demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka sementara menantikan bantuan lanjut daripada agensi yang berkaitan.

    Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan derma kepada TABP melalui sumbangan wang atau barangan (in-kind) adalah sangat dialu-alukan dan bolehlah menderma melalui beberapa cara.

    Mereka boleh menderma secara dalam talian / transaksi bank atau cash/cheque deposit machine (CDM) melalui akaun, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), nombor akaun,  006501268602017 dengan nama akaun, Tabung Amal Bantuan Pesakit, bagi pengguna DST boleh menderma melalui SMS dengan menaip IHSAN1/5/10/15/20/50/100 (tanpa jarak) dan dihantar ke 38111 atau melalui aplikasi MyDST dengan menekan ikon ‘Donation’, pilih ‘Gov services’ > ‘MOH’ > ‘Tabung Amal Bantuan Pesakit’, dan kemudian masukkan jumlah yang hendak disumbangkan dan Security Pin untuk menyelesaikan transaksi.

    Sumbangan juga boleh dihantar terus kepada urus setia Tabung Amal Bantuan Pesakit, Kementerian Kesihatan, di Bahagian Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW), Bangunan Klinik Pakar (Banglo), Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bahagian Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW), Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait; serta Bahagian Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (MSW), Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian, 2242424 sambungan 5809 atau melalui e-mel, msw@moh.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda