Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Pasukan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam, terikat dengan keputusan 1-1 ke atas pasukan Liga Super Brunei (BSL) All Stars dalam perlawanan persahabatan yang diadakan di Balapan dan Padang Kompleks
Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan kebangsaan mendahului perlawanan pada minit ke-21 selepas penyerang, Razimie Ramlli berjaya menanduk masuk bola dalam jarak dekat menerusi sepakan sudut daripada rakan sepasukan, Azwan Ali Rahman.
Pasukan tersebut terus mencari ruang untuk mencetak gol kedua dengan pemainnya Muhd Hanif Farhan bin Azman mencuba melakukan tandukan menerusi hantaran bola daripada rakannya tetapi tersasar dari sasaran.
Walau bagaimanapun, pada separuh masa kedua, pasukan BSL All Stars kembali bangkit dengan mencetak gol penyamaan menerusi jaringan Leon Sullivan yang menerima hantaran tepat daripada Abiodun Fatai Babatunde, melepasi penjaga gawang Wardun Yussof.
Pertembungan menentang pasukan BSL All Stars adalah perlawanan persahabatan kedua mereka dalam masa beberapa hari selepas meraih kemenangan 4-0 menentang Kasuka FC Sabtu lalu.
