Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Peserta tunggal dari Daerah Belait, Kumpulan Mukun Tabuan Muda telah menjuarai Pertandingan Bermukun sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72 tahun di pentas perayaan berdekatan Muzium Alat Kebesaran Diraja di sini, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin selaku Penghulu Mukim Gadong A.
Dalam pertandingan itu, Kumpulan Seri Manis Warisan pula mendapat tempat kedua dan di tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Selendang Biru.
Manakala, juara Pertandingan Bermukun itu menerima piala pusingan, piala iringan dan wang tunai $200.

Lapan buah kumpulan telah menyertai Pertandingan Bermukun yang mana pertandingan tersebut merupakan salah satu acara persembahan pentas yang dianjurkan oleh Kumpulan Warisan Budaya Mukun Brunei buat kali ketiga.
Pertandingan seumpama ini diadakan bertujuan untuk memperkasakan budaya warisan tradisi mukun Brunei di samping dapat memeriahkan lagi suasana acara persembahan pentas sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun.