Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam akan memulakan kempen mereka pada pusingan kelayakan ketiga Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2027 menentang Lubnan di Stadium Saoud bin Abdulrahman di Al-Wakrah, Qatar esok.
Pasukan Tabuan kini sedang menjalani persiapan latihan terakhir menjelang pertembungan Kumpulan ‘B’ yang dinanti-nantikan.
Skuad yang terdiri daripada 23 pemain itu berusaha untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam penampilan pertama mereka tahun ini.
Lubnan berhasrat untuk memperoleh mata penuh, akan tetapi pengarah teknikal merangkap ketua jurulatih kebangsaan, Fabio Maciel, berharap untuk memberikan saingan.
Pasukan Timur Tengah itu telah layak dalam dua edisi terakhir manakala Brunei berhasrat untuk menggunakan perlawanan itu untuk meningkatkan tahap dan taraf pemain.

Kedua-dua pihak akan bersaing buat kali pertama dengan Lubnan, yang berada pada ranking ke-72 di hadapan Brunei, yang jelas berusaha untuk mencari peluang untuk menang.
Pasukan Tabuan turut melakukan penambahan kepada skuad apabila pemain penyerang, Adi Said dipanggil semula selepas kali terakhir beraksi untuk pasukan itu semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Indonesia.
Penyerang Kasuka itu mungkin mencatat rekod penjaring gol terbanyak bagi negara untuk menyamakan jaringan yang dibuat oleh Shahrazen Said dan Azwan Ali Rahman dengan masing-masing memperoleh lapan gol.
Pasukan negara turut menyaksikan empat pemain terdiri daripada Amirul Aizad Zaidi, Azrin Danial Yusra, Wafiq Danish Hasimulabdillah dan Syafiq Hilmi Shahrom menerima panggilan pertama mereka sebagai pemain senior.
Pasukan Asia Tenggara itu mara ke pusingan ketiga kelayakan buat kali pertama berikutan kemenangan bersejarah ke atas Macau dalam pusingan play-off.
Pasukan yang layak akan mendapat tempat dalam fasa utama pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada 2027.