Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berkenan berangkat menyaksikan perlawanan antara Pasukan Negara Brunei Darussalam menentang Pasukan Thailand dalam aksi Kejohanan Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam ini.
Berangkat sama menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Dalam perlawanan itu, Awangku Yura Indera Putera bin Pengiran Yunos muncul wira negara selepas menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan perlawanan menyaksikan pasukan negara menang 2-1 ke atas Thailand.
Beliau berjaya menyempurnakan hantaran Azim Izamuddin bin Haji Suhaimi dari sudut kanan sebelum membuat rembatan menewaskan penjaga gawang Thailand, Suadsong Supanut yang cuba untuk membuat halangan.
Dalam perlawanan ini, skuad Tabuan mempamerkan aksi yang lebih baik daripada perlawanan menentang Timor Leste. Ini terbukti apabila seawal minit ke-10, skuad Brunei mendapat peluang pertama menerusi tandukan Muhammad Razimie Ramli ke gawang sedikit tersasar ekoran daripada tekanan barisan pertahanan Thailand yang ketat.


Perlawanan tampak seimbang pada pertengahan babak pertama apabila pasukan tuan rumah lebih banyak merangka serangan berbanding Thailand dan beberapa kali berjaya menghasilkan peluang yang melibatkan Faiq Jefri Bolkiah dan Muhammad Razimie, namun pasukan Brunei masih gagal memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama.
Awal babak kedua dibuka dengan peluang terbaik skuad Tabuan apabila hantaran daripada sepakan sudut Faiq Jefri Bolkiah yang ditanduk oleh Muhammad Razimie berjaya ditampan oleh penjaga gawang Thailand.
Faiq Jefri Bolkiah pula beberapa kali mengucar-kacirkan pertahanan Thailand apabila mencipta beberapa peluang bagi rakan sepasukannya. Sehinggalah pada minit ke-70 Pasukan Brunei berjaya menjaringkan gol pertama apabila gerakan solo Faiq Jefri Bolkiah dari tengah padang berjaya memberikan hantaran leret kepada Naziruddin Haji Ismail yang Berjaya membolosi gawang Thailand.
Tidak lama kemudian, Ketua Pasukan Thailand, Paso Sittichok berjaya menyamakan kedudukan Thailand memanfaatkan sepakan percuma yang menyaksikan hantaran satu dua yang mengelirukan pertahanan untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Walau bagaimanapun, penonton yang memenuhi stadium pada malam ini memberikan sorakan gemuruh apabila Awangku Yura tampil sebagai wira untuk menjaringkan gol kemenangan skuad Tabuan, sekali gus menghidupkan lagi peluang pasukan tuan rumah di dalam Kejohanan HBT 2018 ini sebelum menentang Pasukan Myanmar yang mendahului Kumpulan A pada masa ini.