Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Pasukan bola sepak Brunei Darussalam berlepas meninggalkan negara kelmarin bagi menjalani persiapan terakhir mereka sebelum Piala Mitsubishi Electric 2022 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bermula.
Tabuan akan ‘berkampung’ di ibu kota Malaysia di mana mereka akan menjadikan Stadium KLFA sebagai ‘laman sendiri’.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin bersama beberapa orang pegawai tinggi FABD dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada pasukan kebangsaan.
Delegasi tersebut terdiri daripada 23 orang pemain dan 14 orang pegawai, yang diketuai oleh pengurus pasukan, Pengiran Haji Mohd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan ditemani oleh pembantu pengurus pasukan, Ah Chua Bangau.
Barisan penjaga gol terdiri daripada Haimie Anak Nyaring, Isyhra Jabidi dan Jefri Ishak. Manakala pertahanan pasukan akan dijaga oleh Yura Indera Yunos, Wafi Aminuddin, Hanif Hamir, Mu’iz Sisa, Alinur Jufri, Shahme Suhaimi, Shafie Effendy dan Fakharrazi Hassan.

Seterusnya, pemain pertahanan termasuklah Nurikhwan Othman, Hendra Azam, Azwan Ali Rahman, Naziruddin Ismail, Azwan Salleh, Najib Tarif, Hakeme Yazid Said dan Haziq Kasyful Azim. Akhir sekali, pemain penyerang Tabuan akan diwakili oleh Adi Said, Azizi Ali Rahman, Hamizan Aziz Sulaiman dan Razimie Ramlli.
Pasukan kebangsaan layak untuk mara dalam kejohanan ini buat kali pertama sejak 26 tahun selepas menang 6-3 ke atas Timor Leste.
Brunei akan memulakan kempen mereka menentang Thailand pada 20 Disember sebelum berlepas ke Filipina tiga hari kemudian untuk perlawanan di Stadium Peringatan Rizal.
Mereka akan kembali ke ‘laman sendiri’ pada 26 Disember untuk berdepan Indonesia sebelum mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang Kemboja pada 29 Disember di Stadium Kebangsaan Morodok Techno di Phnom Penh.
Tabuan akan dikendalikan oleh ketua jurulatih, Mario Rivera Campesino.

