Tabuan tidak bernasib baik – Servais

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Nasib tidak  berpihak kepada pasukan bola sepak kebangsaan negara selepas tewas menerusi agregat 3-2 meskipun menang 2-1 di laman sendiri dalam saingan Peringkat Kelayakan Pusingan 1 Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dan Piala Asia AFC 2023.

Perkara itu dijelaskan oleh ketua jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan negara Brunei Darussalam, Robbie Servais pada sidang media yang berlangsung malam tadi selepas perlawanan, di mana beliau menambah bahawa pujian harus diberikan kerana skuad negara mempamerkan semangat dan corak permainan yang bagus.

Robbie Servais turut menyatakan bahawa adanya harapan cerah bagi pasukan bola sepak kebangsaan negara pada masa yang akan datang jika corak permainan tersebut dapat dikekalkan dan dipertingkatkan lagi.

Meskipun beliau baru enam minggu bersama pasukan negara, beliau berasa bertuah kerana dapat membantu pasukan negara dalam persiapan menghadapi perlawanan menentang pasukan Mongolia dan memahami akan kesungguhan para pemain dalam mempersiapkan diri bagi perlawanan penting berkenaan lebih-lebih lagi semasa tempoh berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu dalam sidang media yang berlangsung berasingan, ketua jurulatih pasukan Mongolia, Michael Weiss meluahkan kelegaannya kerana dapat membantu pasukannya mara ke peringkat seterus meskipun menang tipis.

Beliau menyatakan bahawa pasukannya bertuah pada malam kelmarin kerana terpaksa berhempas-pulas menahan asakan pasukan tuan rumah, lebih-lebih lagi ketika bermain di tempat lawan.