KOTA KINABALU, 9 OGOS – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 bagi menubuhkan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata penubuhan tabung itu sebagai persediaan awal untuk meletakkan peruntukan tahunan kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang tidak habis digunakan, sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju untuk tidak menarik balik baki peruntukan berkenaan.
Beliau berkata selain itu, tabung terbabit juga boleh memperoleh sumber kewangan antaranya daripada sumbangan atau caruman kerajaan negeri, agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan inidividu.
Katanya, Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri itu memainkan peranan membantu kerajaan negeri menjalankan program atau aktiviti tertentu terutama melibatkan luar jangka seperti membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam seperti banjir, kebakaran, ribut dan gempa bumi.
“Tabung itu juga untuk (menjalankan) program basmi kemiskinan, penyediaan kemudahan sosial seperti pembelajaran serta kesihatan, dan pembinaan serta penyelenggaraan jalan, cerun juga termasuk untuk fasiliti antaranya air dan elektrik serta pembangunan lain,” katanya ketika membentangkan usul itu. – Bernama


