Tabung Bantuan COVID-19 dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Jumlah terkini wang yang disumbangkan ke Tabung Bantuan COVID-19 adalah sebanyak $574,098.21.

Manakala itu, terdapat satu lagi cek berjumlah $300,000 yang sedang dalam proses untuk dimasukkan ke dalam akaun tabung dan dengan itu, ia akan menjadikan jumlah sumbangan bagi tabung berkenaan sebanyak, $874,098.21, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau juga menyatakan jumlah sumbangan yang diterima adalah amat menggalakkan selepas pengumuman pengaktifan semula tabung bantuan tersebut, orang ramai sudah mula menghulurkan sumbangan.

“Selain menerima dua sumbangan berjumlah $300,000 dalam tempoh dua hari lalu, terdapat lebih $200,000 telah disumbangkan ke dalam tabung berkenaan,” tambahnya.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi difahamkan telah melancarkan kaedah sumbangan melalui SMS di mana orang ramai juga menyumbang melalui kaedah tersebut dengan jumlahnya belum lagi dimasukkan ke tabung berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berucap semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani