Tabung kemanusiaan Palestin terima sumbangan $16,185.11

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 telah menerima sumbangan berjumlah $16,185.11 daripada lima buah agensi dan persatuan iaitu dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah; Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam; Pertubuhan Wargamas dan Majlis Perniagaan Wanita Brunei Darussalam yang diserahkan kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, pagi tadi.

Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, telah menyerahkan sumbangan berjumlah $4,310.11 yang diperolehi melalui Program Brunei Peduli Palestin yang telah diadakan pada 7 Ogos lalu di Pusat Membeli-belah Onecity. Manakala, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak $3,015 yang diperolehi melalui kutipan daripada para pegawai, kakitangan dan penuntut-penuntut sekolah berkenaan.

Sementara itu, hasil mengadakan aktiviti jualan bunga-bunga mawar yang digelar Roses for Palestine yang telah diadakan pada 10 Julai lalu di Kompleks Pusat Membeli-belah Mabohai oleh Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam, telah berjaya mengumpulkan $5,050. Pelancaran majlis dan perlaksanaan jualan tersebut adalah tajaan dengan kerjasama Mabohai Shopping Complex, Riza Fudhlana Enterprise and Trading Company dan Yelly Florist. 

Pertubuhan Wargamas pula telah mengutip sebanyak $2,800 hasil sumbangan daripada ahli-ahli persatuan berkenaan sementara Majlis Perniagaan Wanita Brunei Darussalam berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak $1,000 hasil daripada jualan kotak juadah berupa makanan kering dan sumbangan derma daripada ahli-ahli majlis berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, berikutan dengan perkembangan terkini mengenai situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan juga selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan mengenai langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan semula bagi mengawal risiko penularan jangkitan COVID-19, Urus Setia Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 ingin memaklumkan kepada orang ramai serta penganjur-penganjur bahawa aktiviti-aktiviti keramaian bagi mengutip derma untuk Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, adalah tidak dibenarkan dan untuk ditangguhkan buat sementara waktu.

Walau bagaimanapun, orang ramai masih boleh membuat sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, dengan menyalurkan sumbangan secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), akaun nombor 00-001-01-0072082, atau melalui perkhidmatan SMS dengan menaip BANTU (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100 dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Progresif Sdn Bhd atau ke talian 39999 bagi pelanggan imagine Sdn Bhd sehingga 23 Ogos 2021.

Wakil daripada salah sebuah persatuan semasa menyerahkan sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, kelmarin.