Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabung kemanusiaan terima $2,441,700

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Penderitaan rakyat Palestin terus mendapat perhatian di negara ini apabila sejumlah $2,441,700 telah diserahkan ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 pada majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Hadir menerima sumbangan daripada beberapa pihak pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis menyaksikan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sumbangan daripada Yayasan berjumlah $100,000.

    Yang Berhormat Dato seterusnya juga menyerahkan sumbangan berupa tiga hospital lapangan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dianggarkan bernilai $2,000,000 kepada rakyat Palestin di Gaza.

    Hospital berkenaan merupakan kapsul udara yang sebelum ini digunakan oleh Negara Brunei Darussalam sebagai makmal dan mempunyai pelbagai fungsi yang telah diterbangkan dari Hong Kong SAR. Sebuah hospital lapangan tersebut berukuran 14.5 meter panjang, 5 meter lebar dan 3.3 meter tinggi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan sumbangan kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama para penyumbang. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan antara jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sebanyak tiga buah hospital lapangan berbentuk kapsul udara yang berukuran 14.5 meter panjang, 5 meter lebar dan 3.3 meter tinggi turut disumbangkan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN

    Sumbangan berkenaan bertujuan untuk membantu meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza berikutan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023.

    Seterusnya, majlis menyaksikan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menyumbangkan $100,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) turut menyumbangkan $100,000 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.

    Sementara itu, Makan Ceria Sdn Bhd menyumbangkan $100,000 yang disampaikan oleh Pengurus Am, Makan Ceria Sdn. Bhd, Awang Mohamad Al-Fatah bin Haji Seruji.

    Sumbangan ini merupakan sokongan terhadap inisiatif kepada pihak kerajaan dan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat McDonald’s Brunei.

    Tidak ketinggalan juga, Majlis Belia Brunei (MBB) menyampaikan sumbangan berjumlah $41,700, hasil kutipan aktiviti Langkah Solidariti Palestin yang dianjurkan dengan gabungan persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan pada 5 November lalu
    di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.

    Sumbangan tersebut disampaikan oleh Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad selaku penganjur bersama aktiviti berkenaan.

    Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi Haji Mohsin; Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) serta wakil daripada agensi-agensi yang menyerahkan sumbangan.

    Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah bersetuju untuk membuat penghantaran jumlah kutipan bagi fasa pertama dalam masa terdekat melalui pertubuhan organisasi antarabangsa yang akan dikenal pasti.

    Tabung berkenaan dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 18 Oktober lalu hingga 18 Januari 2024.

    Ia merupakan sebuah platform yang disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk memberi peluang kepada orang ramai menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan membolehkan pelbagai pihak menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

    Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada JAPEM selaku urus setia jawatankuasa kebangsaan tabung, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan.

    Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian daripada hasil kutipan bersih yang diperolehi daripada mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda