BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sejumlah $303,626.16 telah diserahkan untuk Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria pada majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Sumbangan berkenaan adalah daripada Jabatan Hal Ehwal Ugama (JHEM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.
Hadir bagi menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku penasihat-penasihat bersama tabung kemanusiaan berkenaan.
Pada majlis itu, sumbangan berjumlah $132,344.16 daripada JHEM telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah JHEM, Haji Amir Hisham bin Haji Masri kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada 116 buah peti tabung yang ditempatkan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Sementara itu, sumbangan daripada DST berjumlah $138,649 telah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Operasi Pelanggan, Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak $133,649 adalah hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin daripada pelanggan-pelanggan DST, manakala sejumlah $5,000 pula sumbangan daripada DST.
Progresif Sdn Bhd pula menyerahkan sumbangan berjumlah $31,755 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar, kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Sebanyak $29,755 daripada jumlah tersebut adalah hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin daripada pelanggan-pelanggan Progresif dan $2,000 lagi adalah sumbangan Progresif.
Seterusnya, imagine Sdn Bhd menyerahkan sejumlah $878 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, dan Pengarah di Ba-hagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Allen On kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin dan portal laman sesawang imagine di www.imagine.com.bn.
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang juga selaku timbalan penasihat jawatankuasa tabung.
Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai kaedah-kaedah bagi menyalurkan sumbangan tersebut kepada rakyat dan penduduk di Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.
Tabung kemanusiaan berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai pada 14 Februari lalu dan ditutup secara rasmi pada 14 Mei.


