Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Dalam usaha untuk memeduli dan membantu golongan kurang bernasib baik, semua lapisan masyarakat boleh sama-sama memainkan peranan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan berkenaan.
Oleh itu, sebagai usaha untuk memberi peluang orang ramai menyalurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan, Zahara Charity Foundation (ZCF) telah melancarkan kempen kebajikannya iaitu Tabung Masyarakat ZCF.
Pelancaran kempen itu diumumkan oleh ahli-ahli Lembaga Tadbir ZCF, Dr Mohammad Iznan bin Haji Tarip dan Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, hari ini.
Pelaksanaan kempen itu merupakan satu langkah amat penting ke arah mengangkat kehidupan mereka yang kurang bernasib baik, kanak-kanak berkeperluan khas, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim di seluruh negara.
Di bawah naungan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, ZCF telah membantu golongan yang paling terdedah dalam komuniti kita sejak penubuhannya pada Februari 2021.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P5-3Tabung-1_05082023.jpg)
Dr Mohammad Iznan berkata mereka percaya dengan kekuatan kolektif masyarakat kitani dan dengan Tabung Masyarakat ZCF, kita dapat membayangkan sebuah masa hadapan di mana kebaikan, belas kasihan dan perpaduan dapat mengatasi segala kesengsaraan.
Oleh itu, memahami akan keperluan berterusan bagi penjagaan dan sokongan tambahan, tabung itu telah disusun dengan teliti untuk membolehkan mereka yang memerlukan, akses kepada keperluan sumber-sumber yang disediakan.
Antara sumber tersebut adalah bekalan keselesaan dan perubatan di mana memastikan bekalan perubatan yang penting dan bantuan keselesaan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya selain ia memberi mereka harapan dalam masa paling mencabar.
Selain itu, pakej makanan dan barangan rumah bagi menyokong keluarga terutamanya ibu tunggal, dalam perjuangan harian mereka dengan menyediakan barangan asas rumah dan makanan serta memupuk persekitaran yang stabil dan sejahtera.
Sumber bagi memperbaiki dan membaik pulih kediaman akan dapat memperkasa keluarga untuk hidup dalam keadaan yang selamat.
Oleh itu, orang ramai dan masyarakat dialu-alukan untuk tampil menyalurkan sumbangan kepada tabung tersebut secara terus melalui aplikasi mudah alih BIBD dan menderma
ke ZCF.