Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tabung Palestin dibuka 3 bulan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dan Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

    Sehubungan itu, majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Palestin telah dilancarkan hari ini oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhomat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Majlis pelancaran tersebut merupakan salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai bagi menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang diungkayahkan bersama Datastream Digital (DST) Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.

    Tempoh kutipan SMS akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini hingga 18 Januari 2024.

    Penubuhan tabung tersebut bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza, berikutan pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Palestin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Mohd Rosli dan Hajah Nor Ashikin semasa mempengerusikan persidangan ahli Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Mangsa-mangsa serangan Israel dan jumlah korban serta kecederaan meningkat dalam kalangan rakyat Palestin dan menyebabkan mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi berkata, pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah pun mengadakan perbincangan untuk menilai keperluan bagi penubuhan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dan telah bersetuju terhadap penubuhannya berasaskan kepada beberapa penilaian.

    Penilaian tersebut termasuk hubungan diplomatik dua hala di antara Brunei dan Palestin di samping sama-sama merupakan negara Islam di mana, sejak Brunei menjalin hubungan diplomatik bersama Palestin pada tahun 1994, sumbangan dan bantuan kewangan telah diberikan sekitar 15 kali kepada Palestin secara terus kepada rakyat, kerajaan atau agensi antarabangsa seperti UNRWA, OIC atau Bank Dunia.

    Menurutnya lagi, tempoh kutipan yang dijalankan selama tiga bulan itu adalah bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan mengumpul derma daripada seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk disumbangkan kepada Palestin di Gaza.

    Majlis kemudian diteruskan dengan persidangan ahli Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Hadir selaku penasihat-penasihat bersama ke mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, para pegawai kanan kerajaan dan wakil dari DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd termasuk wakil-wakil dari sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

    Persidangan tersebut membincangkan mengenai hal-hal berkaitan dengan usaha bagi mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Brunei dan tatacara untuk menghulurkan derma tersebut melalui saluran yang rasmi dan secara pendekatan senegara.

    Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100 peratus) disumbangkan kepada tabung berkenaan.

    Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian daripada hasil kutipan bersih yang diperolehi menerusi aktiviti-aktiviti yang diadakan dalam bentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

    Peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat, bangunan bank, premis perniagaan dan bangunan awam seluruh negara.

    Di samping itu, orang ramai juga boleh terus menghantar derma kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, JAPEM, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan di ibu negara pada waktu pejabat.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...