Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus berusaha mendukung hasrat negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 dari segi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik.
Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam juga terus memberikan biasiswa dan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) kepada penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai yang berkenaan untuk mengambil jurusan atau kepakaran dalam bidang perubatan dan kesihatan termasuk profesional kesihatan bersekutu di dalam atau luar negara.
Perkara itu antara yang dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa sesi perjumpaan dan dialog bersama penuntutpenuntut dan pegawai-pegawai di dalam bidang perubatan, pergigian dan profesional kesihatan bersekutu termasuk yang mengikuti kursus kepakaran yang berlangsung di London, United Kingdom (UK) pada 28 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, delegasi Yang Berhormat Dato turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan, penuntut-penuntut berkenaan sangat diharapkan menunjukkan patriotisme dan kesetiaan kepada negara dan bangsa di mana apabila selesai menjalani pembelajaran dan latihan akan kembali bertugas di negara ini untuk menyumbangkan khidmat bakti dengan perkhidmatan yang berkualiti dan efisien demi meningkatkan tahap kesihatan dan sekali gus kesejahteraan rakyat dan penduduk serta masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Pada sesi dialog itu, beberapa perkara penting turut dikongsi mengenai prosedur-prosedur dan proses terkini berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan termasuk penambahbaikan dan pengukuhan di bawah Kementerian Kesihatan.
Turut dibincangkan adalah mengenai cabaran-cabaran dalam sistem kesihatan pada masa hadapan, laluan kerjaya di bidang kepakaran, peluang-peluang latihan dalam perkhidmatan serta jenis-jenis kepakaran perubatan, pergigian dan profesional kesihatan bersekutu yang sangat-sangat diperlukan di Negara Brunei Darussalam.
Semasa berada di UK, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan rombongan turut membuat beberapa lawatan kerja ke institusi-institusi perubatan yang terkemuka dengan matlamat untuk mendapatkan peluang-peluang bagi meningkatkan kepakaran dalam kalangan pengamal perubatan, pergigian serta profesional kesihatan bersekutu tempatan dalam usaha bagi mengukuhkan lagi sistem kesihatan untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi yang berterusan kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.